Friday, September 19, 2008

Persidangan Dwi Tahunan NUJM 22 September 2008

Sempena Persidangan Dwi Tahunan NUJM ke-16 di Shah Village Hotel pada 22 September ini, akhbar dalam talian yang baru muncul menyediakan artikel yang agak menarik. Sila klik http://thenutgraph.com/contesting-the-nuj.

Saudari Ooi Ying Nee menyifatkan saya bercakap macam orang politik. Saya tidak sedar pula saya bercakap macam orang politik.

Apa pun terima kasih pada Ooi kerana sudi mencatatkan pandangan saya yang dikatakan `a relative unknown in journalism and in the NUJ.

Bagaimanapun saya rasa semacam ada cabaran besar buat saya apabila beliau menyatakan `but he could be the catalyst for much-needed revivalism within the union at a time when the press are facing constant pressures to toe the government line.

Sudah pasti pencapaian dan pengalaman saya ibarat `langit dan bumi' berbanding Norela. Saya setakat dua tahun memegang jawatan Pengerusi NUJ-UM. Pada mulanya saya hanya mahu terlibat secara low profile dalam NUJ iaitu sekadar menjadi Exco walaupun pada pemilihan 2002 saya menang besar bagi jawatan Exco.

Setelah Setiausaha Cawangan NUJ-UM, Khalid Norshah yang kini aktif dalam aktiviti Dinar Emas meninggalkan Utusan Malaysia, saya diminta untuk mengisi jawatan itu setelah tiada exco cawangan yang mahu mengambil jawatan itu.

Dari situ saya mula belajar menguruskan kesatuan dengan mengunakan sepenuhnya pengalaman ketika berada di kampus dahulu. Dan ketika pemilihan cawangan pada 2006, desakan daripada akar umbi meminta saya memimpin cawangan begitu kuat lantas membuatkan saya bersetuju bertanding.

Meskipun ketika itu memang terdapat exco yang prasangka dengan keputusan saya itu dan Norela sendiri meminta saya memikirkan semula keputusan itu. Ada yang melihat kepimpinan saya selama dua tahun lalu banyak masalah apabila terdapat perpecahan. Puncanya kerana penghapusan skim gratuiti dalam Perjanjian Bersama (CA).

Tetapi sepanjang tempoh kepimpinan saya itu, saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli NUJ-UM dan sepanjang tempoh itu juga saya tidak meminggirkan Presiden NUJ. Keputusan pemilihan cawangan NUJ Utusan Malaysia Jun lalu sekali lagi jelas menunjukkan arus sokongan ahli-ahli NUJ-UM walaupun saya tidak bertanding.

Malah saya rasa ada hikmahnya dalam usaha meredakan masalah perpecahan apabila semua pihak diberikan peluang untuk berkhidmat dengan kesatuan.

Dan pada kali ini, saya menawarkan diri untuk ke Pusat. Saya anggap ia sebagai satu lagi pengembangan penglibatan saya dalam kesatuan dan dunia kewartawanan. Memang saya tidak dikenali dalam industri ini kerana saya baru bertapak.

Desakan ke pusat sudah timbul lama, sejak dari bekas Presiden NUJ-UM, Abdullah Tahir masih berkhidmat di Utusan Malaysia. Untuk beberapa ketika, Norela sentiasa mengingatkan bahawa beliau bersedia memberikan laluan sekiranya ada pemimpin baru yang tampil untuk menggantikannya.

Tetapi pemimpin baru itu tidak pernah ditunjuk apatah lagi tidak ada usaha untuk `groom' muka baru untuk menggantikannya. Saya memanglah bukan muka baru yang menjadi harapan beliau kerana tidak pernah beliau mengesyorkan saya ke Pusat melainkan ahli-ahli bawahan sahaja yang begitu memberikan kepercayaan kepada saya.

Tetapi entah kenapa apabila saya ingin bertanding Presiden, Norela meminta saya memberikan laluan kepadanya sehingga beliau bersara dan bersedia memberikan jawatan Bendahari Pusat sebagai persediaan saya ke Pusat.

Saya tidak memberikan apa-apa jawapan atas pemintaan itu sehinggalah pertandingan benar-benar terjadi. Masalahnya kenapa sekarang baru tawarkan saya jawatan ke Pusat setelah saya berhasrat `mencabar' beliau?

Apa pun kita nantikan 22 September ini apabila undi dikira. Sama ada menang atau kalah, saya tidak merasakan apa-apa kehilangan kerana saya hanya bergerak atas kehendak akar umbi. Kalau menang, memanglah kena kerja kuat dan jangan tinggalkan saya keseorangan di atas.
Kalau kalah, saya tetap akan buat sambutan bersama-sama ahli atas kesudian mereka membantu kempen pemilihan ini.

No comments: