Thursday, July 07, 2011

Perang baru bukan lagi serangan ketenteraan - Mehdi

WILAYAH AL-FAQIH....Terdapat usaha kuasa asing mahu menjatuhkan kepimpinan ulama melalui penyusupan elit politik yang dididik oleh negara-negara luar. Kedudukan yang ada pada Rahbar cuba dipertikaikan antara lainya kerana ada golongan tertentu tidak dapat mencapai atau menikmati `buahan ranum' yang diidamkan.

TIGA dekad lebih awal daripada apa yang terjadi di Asia Barat sekarang, Iran telah pun menyaksikan kebangkitan rakyat menumbangkan rejim Shah Iran sekali gus menamatkan pengaruh kuasa besar ke atas negara itu. Namun, republik Islam tersebut terpaksa pula menghadapi perang dengan Iraq pada tahun 1980-an dan kini menghadapi tekanan kuasa besar ekoran pembangunan teknologi nuklearnya.

Cabaran itulah yang dianggap sebagai kaedah perang baru kuasa neokolonialisme dalam membuat percaturan bagi terus mencengkam negara umat Islam.  Ia berbeza dengan kaedah yang pernah diamalkan oleh penjajah pada kurun sebelum ini iaitu melakukan pencerobohan dan serangan ketenteraan secara total bagi menguasai sesebuah negara sasarannya. 

Duta Besar Iran ke Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Mehdi Zahedi, 57, yang ditemubual oleh  wartawan Utusan Malaysia, HELMI MOHD. FOAD dan MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN baru-baru ini telah berkongsi pandangannya mengenai pertukaran kaedah percaturan kuasa kolonial daripada perang `perkasasan' iaitu ketenteraan kepada perang ` perisian' atau saraf ke atas negara-negara Islam.

Pakar matematik yang pernah menjadi Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran itu berkata; ``Satu ketika dahulu kita lihat banyak berlaku kudeta, perang saudara, pembunuhan beramai-ramai dan pencerobohan melalui tindakan ketenteraan, namun polisi itu sudah banyak berubah.

``Sekarang mereka melatih beberapa pemimpin elit atau bijak pandai dan kemudian dihantar ke negara yang menjadi sasaran bagi memberikan pendidikan dan proses `brain wash'  supaya golongan itu dapat memberikan sokongan dan terus memelihara kepentingan kuasa kolonial.''

Rantau Asia Barat telah menyaksikan kebangkitan rakyat seperti di Mesir dan beberapa buah negara Arab yang lain. Apa pandangan Tuan tentang perkara tersebut? 
Kita percaya mereka yang tinggal di negara Islam seperti Asia Barat mempunyai dua faktor (menyebabkan kebangkitan), pertamanya kerana kesedaran Islam dan kedua ialah kehendak rakyat.


Seperti Iran, kami mempunyai pengalaman tiga dekad lalu yang menyaksikan kebangkitan rakyat melawan Shah Iran bagi membolehkan rakyat memerintah sendiri selain menentang penguasaan pengaruh kuasa besar ke atas negara kami.

Lihat Mesir, ia adalah lambang kepada tamadun Islam, di situ pusat tamadun kepada umat Islam. Tetapi apabila rejim pemerintah naik, apa yang terjadi kepada negara-negara Islam. Rejim berkenaan menandatangani perjanjian damai dengan Israel. Semasa Presiden Hosni Mubarak memerintah pula, bantuan kemanusiaan tidak dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza.

Jadi orang Islam tidak dapat menerima dasar seumpama itu. Ini salah satu bentuk kesedaran Islam di kalangan rakyat Mesir.

Dalam pilihan raya Presiden Iran yang lalu, dilihat berlaku kebangkitan golongan muda atau reformis di Iran. Ada menyatakan ia mempunyai unsur pengaruh luar yang mahu melakukan agenda menukar rejim di Iran.  Apa sebenarnya yang berlaku?  

Mereka (kuasa besar) cuba melatih golongan elit yang dihantar ke negara yang menjadi sasaran yang kita panggil satu gerakan revolusi berasaskan warna. Ini seperti berlaku di Georgia dan Ukraine.

Pengalaman daripada dua negara itu menyebabkan mereka merasakan kaedah itu boleh dilaksanakan di Iran. Namun mereka lupa bahawa Iran sudah menjadi negara Islam apabila 30 tahun dulu kami menjatuhkan Shah Iran yang tidak mengamalkan dasar Islam. Realiti inilah yang tidak dapat dilihat oleh mereka.

 Ada pandangan yang mengatakan Iran lebih demokratik berbanding negara Asia Barat yang lain?

Dalam tempoh 32 tahun selepas revolusi, Iran mengadakan sebanyak 31 kali pilihan raya, maknanya setiap tahun ada pilihan raya. Kita ada pilihan raya di peringkat Datuk Bandar, majlis perbandaran malah boleh dikatakan di semua peringkat selain pilihan raya umum dan Presiden.

Ini termasuk Majlis Khubragan iaitu pemilihan ulama yang mempunyai kuasa memilih pemimpin tertinggi Iran (Rahbar) adalah dipilih oleh rakyat. Namun, Iran dilabelkan sebagai negara yang mengamalkan totalitarian sebagaimana pergerakan Hamas dilabel sebagai kumpulan terroris.

Bagaimana pula dengan pandangan Tuan tentang penyatuan Hamas dan Fatah bersama 13 puak yang lain di Palestin? Adakah ia akan memberikan impak positif kepada dunia Islam?
Iran sentiasa mahukan kepada perpaduan umat Islam. Tentang Palestin, kami amat gembira dengan perkembangan terbaru itu dan kami sentiasa memberikan sokongan ke arah perpaduan antara kumpulan-kumpulan di Palestin terutama pergerakan Hamas dan Fatah. Kita percaya langkah itu adalah sejajar dengan kehendak rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang pendudukan rejim Zionist.

 Apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh pejuang Palestin hasil persepakatan itu?

Soalan itu cukup mudah tetapi hendak memberikan jawapan sangat sukar. Apa yang kita lihat, Israel dan AS mengganggap Hamas adalah kumpulan pengganas tetapi masih banyak lagi faktor dan elemen lain yang berkaitan.

Kalau boleh, kita rujuk kembali bagaimana kuasa kolonial bergerak pada abad yang lalu iaitu melibatkan taktik dan perlakuan mereka pada abad ini perkara itu sudah berubah.

Pada abad yang lalu, mereka menggunakan kaedah `perang perkakasan' iaitu melalui tindakan ketenteraan tetapi sekarang sudah berubah kepada perang perisian iaitu menggunakan kuasa perisikan.

Satu ketika dahulu kita lihat banyak berlaku kudeta, perang saudara, pembunuhan beramai-ramai dan pencerobohan melalui tindakan ketenteraan. Namun polisi itu sudah banyak berubah apabila kuasa kolonial mula menggunakan kaedah perisian atau saraf.

Sekarang mereka latih beberapa pemimpin elit atau bijak pandai dan kemudian dihantar ke negara tertentu yang menjadi sasaran bagi memberikan pengajaran dan proses `brain wash'  supaya mereka dapat memberikan sokongan dan memelihara kepentingan kuasa kolonial.

Sekarang perkara itu sudah berlaku iaitu dengan cara menumbangkan pucuk pimpinan negara dan apabila elit tersebut meraih tampuk kuasa, dia akan menjadi pemimpin boneka kepada kuasa kolonial tersebut.

Mereka dilatih untuk menjaga kepentingan kolonial dan sebab itulah kenapa perpaduan di kalangan umat Islam masih gagal dilaksanakan.

Kaedah perang perisian turut digunakan di Afghanistan apabila kuasa besar menggunakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyerang dan menjajah negara itu. Kaedah yang sama digunakan ketika menyerang Iraq. Satu lagi alat perisian yang mereka gunakan adalah melalui kuasa hak asasi manusia seperti masalah keganasan dengan memesongkan pandangan umum masyarakat dunia seperti Hamas yang dilabelkan sebagai kumpulan terroris.

Sedangkan pada masa yang sama kita melihat rejim Zionist telah bertindak membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. Apa yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan kejam mereka di Deir Yassin, Shabra dan Shatila serta perang di Gaza pada 2009.

Begitu juga isu kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara. Di Libya, negara kuasa besar telah membantu pemberontak yang melawan rejim pemerintah. Mereka telah memberikan sokongan dengan menggunakan organisasi seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menghantar tentera ke Libya.

Berbeza pula dengan Bahrain yang turut menghadapi kesan domino kebangkitan di Asia Barat tetapi kebangkitan rakyat itu telah ditekan melalui penghantaran tentera dari negara jiran. Ini kerana ada pangkalan tentera AS di Bahrain.  Sedangkan tiada bezanya dengan kebangkitan di negara-negara lain, kehendak rakyat perlu dihormati.

Jadi begitu keadaannya, bagaimana perpaduan umat Islam dilaksanakan?  Ini kerana mereka (kuasa kolonial) tidak mahukan perpaduan sebaliknya menggunakan pelbagai cara untuk menggagalkannya.

Sebagai contoh mereka akan menghantar golongan elit termasuk bijak pandai dan ulama untuk datang ke sesebuah negara bagi bercakap tentang perbezaan antara aliran Sunnah dan Syiah.  Mereka itu sengaja dibiayai bagi memelihara kepentingan kolonial seperti ada yang dihantar ke Iraq untuk bercakap soal perbezaan mazhab.

Secara terbuka media seperti televisyen bercakap soal (perbezaan) Sunnah dan Syiah sedangkan kita sepatutnya bercakap tentang nasib umat Islam.
Sebagai contoh terdapat televisyen satelit di AS yang menerima pembiayaan dan disokong oleh AS sendiri bagi mempromosikan pemikiran Syiah dalam negara itu dan menyebabkan ketegangan di kalangan pengikut aliran Sunnah.  Begitu juga di negara lain mereka mempromosikan aliran Sunnah dan bercakap soal perbezaan dengan Syiah.

Ini perang perisian yang digunakan untuk melebarkan perbezaan di kalangan umat Islam. Sedangkan secara prinsipnya semua mazhab memiliki pegangan yang sama.
Dr. Mohammad Mehdi Zahedi begitu bersungguh menerangkan sesuatu kepada sahafiye dalam wawancara baru-baru ini. (sorry mata aku terkatup pulak)

 Jadi bagaimana hendak memberikan reaksi kepada dasar seperti itu?

Para pemimpin Islam perlu bersikap lebih berhati-hati dan jangan terpengaruh dengan kaedah baru kuasa-kuasa kolonial tersebut. Apabila ada yang bercakap soal perbezaan tersebut kita harus bersikap berdiam diri kerana ia adalah satu `konspirasi syaitan'.  Kita perlu meletakkan kepentingan kepada perpaduan dengan mengetepikan perbezaan yang ada.

Bagaimana pula dengan kuasa media baru seperti Internet, adakah ia juga termasuk dalam agenda perang perisian?
Itu tidak ada keraguan lagi seperti Facebook, Twitter dan Google. Siapa yang menikmati kelebihan daripada teknologi tersebut. Ia boleh digunakan untuk kebaikan dan ia juga boleh digunakan untuk keburukan.

Mereka telah memberikan teknologi terbaik tetapi di sebalik itu ia telah disalahgunakan untuk kepentingan kuasa-kuasa kolonial itu. Kita tidak menentang teknologi tetapi kita perlu memahami bagaimana cara teknologi itu digunakan untuk kepentingan kuasa besar itu.

Memberikan tindak balas kepada cabaran perang perisian adalah 10,000 kali ganda lebih sukar berbanding perang perkakasan. Kita akan tahu untuk bertindak balas jika berhadapan dengan orang yang bersenjata tetapi sukar menghadapi perang perisian ini kerana tiada siapa dapat melihatnya secara jelas.

 Bagaimana dengan perkembangan isu teknologi nuklear Iran?

Iran juga menghadapi sikap double standard kuasa kolonial apabila kami berusaha membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan keamanan.   Kami dilabelkan sebagai negara yang cuba membangunkan senjata nuklear.

Sedangkan Iran adalah anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) serta memberikan komitmen kepada permintaan yang dikehendaki oleh agensi antarabangsa itu.

Bagaimanapun, ada negara yang tidak menjadi ahli IAEA dan tidak menandatangani NPT malah ada yang memiliki bom nuklear serta secara teknikal dan kewangannya mendapat kerjasama AS.  Ada juga negara yang telah membuat ujian senjata nuklear dan ia mendapat kerjasama AS.

Apa pandangan Tuan tentang pembunuhan Osama Ben Laden? Ini kerana setengah pihak mengatakan ia satu konspirasi dan terrorisme tidak akan mati dengan kematian ketua Al-Qaeda itu kerana ideologinya masih terus berjalan.
Saya lihat dari sudut berlainan, iaitu siapakah yang mencipta Osama dan memberikan sokongan kepada beliau. Ya, ia bermula daripada perang di Afghanistan. Jadi AS yang mencipta keganasan itu dan dari situ kita dapat mengetahui akar umbi keganasan seperti kita melihat seorang bayi yang sedang membesar.

Osama adalah satu contoh bagaimana proses `brain wash' telah berjaya dilakukan. Saya bersetuju dengan anda bahawa terrorisme tidak akan tamat, ini kerana AS sendiri tidak mahu ia tamat.

Kalau mahu menamatkan keganasan, sepatutnya mereka tidak menyokong tindakan rejim Zionist membunuh manusia yang tidak berdosa di Palestin. Osama sudah tiada ada lagi tetapi ramai lagi Osama lahir.

Malah, sebenarnya pemimpin negara yang membunuh rakyatnya sendiri juga boleh dilabelkan sebagai pengganas. Jadi inilah fenomena keganasan dan akar umbi yang perlu dijawab dengan lebih jelas.

Dalam serangan ketenteraan itu, Osama dibunuh ketika dia tidak bersenjata. Undang-undang mana yang mereka pakai untuk membolehkan membunuh mereka yang tidak bersenjata? Adakah susah hendak menangkap mereka yang tidak bersenjata walau sekuat mana fizikalnya.

Osama sengaja tidak dibiarkan hidup kerana bagi menutup segala perancangan yang telah dilakukan oleh kuasa besar itu sebagaimana tiada sebarang pendedahan dibuat bagaimana penderitaan para tahanan di kem Guantanamao.

Jadi banyak perkara yang boleh membuat kita dapat menolak segala dakwaan AS termasuk foto palsu mayat Osama yang dikeluarkan oleh media selain kaedah pengkebumiannya telah ditolak oleh para ulama.

-Ini wawancara lengkap bersama Duta Iran ke Malaysia yang  sebahagiannya telah disiarkan oleh Utusan Malaysia. 

Sunday, March 06, 2011

Platform terbaik bela nasib wartawan dan pengguna media . Majlis Media perlu tubuhkan

SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Media yang telah disyorkan sejak sekian lama perlu terus dipastikan terlaksana bagi menentukan nasib pengamal media dan pengguna di negara ini dapat dibela.

Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan yang membangkitkan kembali syor penubuhan majlis atau sebuah suruhanjaya media berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan rakyat turut dapat meluahkan aduan sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu laporan atau berita.

``Golongan wartawan diibaratkan seperti lilin, mereka membakar diri sendiri untuk kepentingan orang lain tetapi oleh kerana keadaan yang terlalu tebal dengan birokratik menyebabkan wartawan tidak terbela.

``Justeru, kewujudan sebuah majlis atau suruhanjaya media merupakan satu keperluan untuk pastikan hak semua pihak berada pada landasannya,'' katanya.

Beliau melontarkan pandangan tersebut pada Kolokium Kritikan Media Ke-24 bertemakan `Wartawan, Undang-Undang dan Negara anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Sabtu lalu.

Zaini yang mengupas tajuk `Wartawan Penerus Agenda Pembangunan Negara: Antara Pelaporan Terpimpin atau Pelaporan Tiada Batasan berkata, pengamal media menghadapi cabaran dalam memastikan etika kewartawanan dapat terus diamalkan ekoran faktor kemunculan pelbagai medium media baru yang mengutamakan kepantasan.

``Secara radikalnya etika media tidak lagi relevan kerana soal ketepatan bukan dijadikan asas penting tetapi soal kepantasan sekali gus memberikan kesan kepada maklumat yang disalurkan.

``Ini menyebabkan kecelaruan iaitu dari segi penerimaan dan penghantaran sesuatu maklumat, jadi ini perlu dilihat apa akan jadi pada masa akan datang,'' katanya.

Katanya, keadaan itu berbeza seperti media di United Kingdom yang mempunyai majlis media bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan sekali gus mengelak mereka mengalihkan kemarahan melalui medium yang lain.

``Sudah sampai masanya kalau media menganggap mereka akan estet keempat selepas eksekutif, penggubal undang-undang dan kehakiman, kita mesti mempunyai satu platform untuk menentukan nasib pengamal dan penerima berita dibela,'' katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila menyatakan, penubuhan majlis media perlu dihalusi dengan baik dengan melibatkan perbincangan bersama pengamal media, pihak yang berkepentingan dan rakyat.

Beliau berkata, badan seumpama itu perlu dipastikan mempunyai kuasa menguruskan peraturan sendiri dan tidak dikongkong oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen.

``Kita tidak mahu nanti integriti badan tersebut dipersoalkan dengan mengambil kira kemungkinan terdapat kos yang perlu ditanggung oleh rakyat,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, badan tersebut hanya dapat dilaksanakan selepas sistem yang ada dibersihkan termasuk menghapuskan akta-akta yang boleh dikenakan ke atas pengalamal media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

``Saya tidak setuju kalau ada pihak mengatakan terdapat media yang mempunyai niat jahat, kalau kita percaya kepada etika dan profesionalisme yang dipegang oleh pengamal media, mengapa perlu kepada akta tersebut.

``Dengan adanya akta-akta seperti itu seolah-olah kita tidak percaya kepada pengamal media. Mungkin ada menyatakan walaupun akta itu wujud, tiada akhbar ditutup, itu memang benar kerana semuanya mengikut apa sahaja diarahkan oleh kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, wartawan kanan Unit Berita TV3, Razali Awang yang mengupas tajuk `Cabaran Wartawan Dalam Berhadapan dengan Kepesatan Teknologi Media Sosial' berkata, penggunaan kuasa medium baru termasuk Facebook dan Twitter bagi menyampaikan maklumat hingga dapat mencetuskan revolusi rakyat Mesir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak tidak boleh disamakan dengan negara ini.

``Rakyat Mesir terpaksa memilih medium tersebut kerana faktor keadaan apabila sikap pemerintah Mesir yang terlalu menekan.

``Di negara ini walaupun media boleh dikatakan masih dikawal oleh kerajaan, kalau diteliti ia ada memberikan kebaikan,'' katanya.

Ini katanya, berbeza dengan Indonesia apabila selepas kejatuhan rejim Suharto, media dilihat mempunyai kebebasan mutlak dan ia menyumbangkan kepada ketidakstabilan kepada negara itu sehingga sekarang.



(Ini adalah berita penuh dengan sebahagiannya tersiar dalam Mingguan Mingguan 6 Mac 2011)

Sunday, January 09, 2011

Mengapa Nie Ching masih berdegil?

 HELMI MOHD. FOAD

TIDAK habis-habis isu yang melingkari anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP berkaitan amalan memasuki rumah ibadat orang Islam. Biarpun pelbagai kritikan dan teguran dilontarkan terhadap tindak tanduk ahli Parlimen, beliau masih enggan mengakui kesilapannya.

 Malah dalam kes terbaru membabitkan penyertaan beliau dalam acara senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan pakaian track ketat, Nie Ching menghalakan pula serangannya terhadap akhbar ini yang menyiarkan gambar acara itu dalam laporan muka depan 30 Disember lalu.

 ``Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun UMNO kerana saya percaya akhbar ini tidak layak untuk memberitahu mengenai ajaran Islam,'' katanya.

 Begitu angkuh sekali kenyataan ahli Parlimen muda itu tanpa menyedari apa yang beliau pertahankan itu sebenarnya tidak kena pada tempat selain tersasar daripada persoalan sebenar.

 Namun kali ini, Nie Ching menerima tamparan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak pula mempertahankan tindakan ahli Parlimen itu berbanding sebelum ini membabitkan isu beliau memasuki sebuah surau sehingga ke ruang solat dan menyampaikan ucapan semasa bulan Ramadan, Ogos lalu.

 Dalam kamus Islam, tiada larangan bagi orang bukan Islam berkunjung ke masjid, malah memasuki masjid juga diharuskan. Orang bukan Islam juga digalakkan datang ke masjid dan menyertai acara yang bersesuaian. Kepada Nie Ching, datanglah ke masjid berapa kali yang beliau suka. Tiap-tiap hari pun tidak mengapa.

 Masjid-masjid di negara-negara Barat juga ada yang menganjurkan hari terbuka untuk orang bukan Islam datang masjid. Ia adalah salah satu bentuk pendekatan dialog silang budaya dan agama.

 Masjid bukan sekadar tempat melakukan ibadat solat atau program keagamaan semata-mata, malah sejak di zaman Nabi Muhammad sendiri yang mendirikan masjid sebagai tindakan awalnya ketika memasuki kota Madinah dalam peristiwa Hijrah, rumah Allah itu menjadi pusat bagi segala program pentadbiran negara sekali gus tempat menyatukan umat manusia tidak kira Islam atau bukan Islam.

 Kehadiran orang bukan Islam ke masjid juga menjadi satu pendekatan dakwah agar suatu hari nanti mereka akan menerima hidayah.

 Seperti adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, Lauren Booth, 43, memeluk Islam setelah merasai ketenangan ketika berada di kompleks makam Fatimah al maksumeh (saudara perempuan Imam Ali Ibn Musa Rida) di bandar Qom, Iran.
(kompleks makam tokoh-tokoh Ahlul Bait di Iran biasanya dibina bersekali dengan kemudahan ruang solat)

Di zaman dahulu kala, bagaimana budaya seperti tarian zapin di Johor sendiri sebenarnya bermula di kawasan surau dan masjid. Selepas selesai solat, bagi mengisi masa lapang mereka berzapin dengan iringan selawat memuji Rasulullah SAW.

 Jadi memang tiada masalah acara sukan seperti senamrobik atau sebagainya. Ada juga masjid perkenalkan senaman tai chi sebagai merapatkan hubungan kemasyarakatan di kalangan umat Islam.

 Ini semua tidak dipertikaikan sementalah hukum syarak mengharuskan program-program yang bersifat makruf sekali gus dapat menarik umat Islam mendekati masjid yang kadang-kala ditinggalkan sepi selepas solat.

 Namun, setiap pengunjung yang datang ke masjid pasti arif tentang peraturan tentang masjid sebagai zon menutup aurat. Bukan sahaja orang bukan Islam, orang Islam yang berpakaian terdedah juga mesti menutup aurat apabila memasuki kawasan masjid. Kawasan masjid juga dijadikan zon larangan merokok.

 Dalam konteks dakwah, pendakwah tidak boleh menggunakan kaedah pemaksaan terhadap umat Islam yang masih tidak menutup aurat sebaliknya mengutamakan usaha kefahaman dan kesedaran Islam.
Apatah lagi kepada bukan Islam, sudah tentu unsur paksaan akan menjauhkan mereka daripada Islam. Ia juga akan menampilkan citra Islam yang tidak bertoleransi dan terlampau keras.

 Namun, apabila menyentuh soal peraturan, setiap orang perlu menghormatinya termasuk orang Islam sendiri. Peraturan di Malaysia juga membataskan pergerakan pengunjung bukan Islam daripada memasuki ruang solat.

Meskipun tiada nas syarak melarangnya tetapi terdapat maslahat tertentu peraturan sedemikian dibuat bagi menjaga kesucian masjid dan rumah Allah.

Dalam hal ini, mengapa sukar peraturan tersebut hendak dipatuhi oleh Nie Ching. Dan mengapa masyarakat Islam sendiri tidak menjelaskan kepada ahli Parlimen itu tentang peraturan tersebut. Mana perginya orang-orang Pas?

 Sedangkan penulis masih ingat bagaimana sindiran seorang perwakilan Pas dalam muktamar parti itu di Shah Alam tidak lama dahulu yang bertanya `adakah tidak ada secebis kain buruk untuk wartawan-wartawan akhbar Cina untuk menutup kepala' ketika membuat liputan muktamar itu.

 Perwakilan itu hairan mengapa Pas tidak boleh melaksanakan peraturan Islam dalam muktamar mereka dengan mengibaratkan Stadium Tertutup Melawati,tempat berlangsungnya muktamar itu sebagai sebuah negara Islam.

 Para pemimpin Pas tidak melayan kritikan itu yang sememangnya terlalu konservatif. Begitu jumudnya pemikiran perwakilan Pas itu kerana nampak negara Islam dalam kerangka sebuah stadium sedangkan dalam sebuah negara Islam, wajarkah orang bukan Islam dipaksa menutup aurat?

 Antara konservatifme dalam Pas, parti itu terjerat dengan pendekatan terlalu liberal. Sebab apa Nie Ching masih berdegil daripada akur dengan soal sensitiviti umat Islam dan peraturan yang ditetapkan?

Sebabnya kerana orang-orang Pas sendiri yang terlalu ingin mempertahankan segala perbuatan DAP atau malu alah dengan parti itu kerana tanpa sokongan DAP, Pas tidak akan dapat mencapai seperti kedudukannya sekarang.

Sedangkan persoalannya cukup mudah. Seperti larangan membawa buah durian masuk ke dalam bilik hotel. Bukan kerana durian itu haram atau tidak halal tetapi itu adalah peraturan. Tetapi mengapa ada pihak begitu susah hendak mengikuti peraturan?

Saturday, January 01, 2011

Dialog Sunni-Syiah: Antara bebanan sejarah dan menjenguk masa depan

HAMPIR semua akhbar tempatan memberikan liputan besar terhadap operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas markas utama kumpulan Syiah di Hauzah Al-Redha di Sri Gombak, Selangor baru-baru ini.

Kehadiran pengikut hauzah itu dalam jumlah yang ramai adalah berkebetulan dengan sambutan 10 Muharam yang secara tradisinya diadakan bagi memperingati kesyahidan Imam Hussin alaihisalam iaitu cucu kesayangan Rasullullah SAW di medan Karbala pada tahun 61 Hijrah.

Sudah lama isu Syiah bagaikan sejuk selepas penangkapan beberapa pengikut Syiah termasuk pensyarah universiti di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar penghujung 90-an tetapi sehingga kini mereka masih terus menjadi pengikut Syiar tegar.

Meskipun kewujudan pengikut Syiah bukan suatu yang baru di negara ini, operasi terbaru JAIS mengejutkan pelbagai pihak dalam keadaanagensi agama itu sendiri masih bergelut dengan masalah pelbagai ajaran sesat dan aliran pemikiran seperti pluralisme dan wahabi. 

Dan tolak tepi dahulu isu Qadiani yang memang jelas bukan lagi dianggap dalam aliran Islam masih gagal diselesaikan. 

Isu Syiah menerima tumpuan lebih kerana faktor perbezaannya daripada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) apatah lagi kenyataan Pengarah JAIS, Datuk Muhammed Khusrin Munawi yang menyatakan, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir. klik di sini

Daripada keseluruhan ciri-ciri yang disenaraikan oleh beliau ke atas penganut Syiah, frasa kenyataannya; ``Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh,'' menimbulkan pelbagai reaksi termasuk dibantah pengikut Syiah sendiri.

Kesimpulan mudah seperti congak matematik sebegitu sudah cukup untuk membuat umat Islam di negara ini terus melabelkan ajaran Syiah benar-benar sesat tetapi tidak kurang ada yang mempersoalkan kebenaran dakwaan itu.

Persoalannya, benarkah orang Syiah menganggap pengikut Sunnah sebagai halal dibunuh dan menjadi doktrin arus perdana aliran mazhab itu.

Malah, sepatutnya pasukan pengkuatkuasa menunggu sehingga kumpulan Syiah tegar di hauzah berkenaan sempat mengadakan upacara mencederakan badan atau dipanggil Qamezani (pisau yang dipukul pada badan) dalam sambutan Asyura bagi mendapatkan bukti jelas bersifat prima facie - kalau benar amalan itu menjadi pegangan mereka.

 Tidak bermaksud mempertikaikan penguatkuasaan agensi agama itu dan juga tindakan mahkamah yang dihadapi oleh ketua pengikut Syiah di hauzah itu, satu jalan penyelesaian lebih bersifat nafas panjang perlu dilakukan untuk meredakan polemik Sunnah-Syiah.

 Ini kerana operasi tangkapan dan membuat kenyataan berdasarkan `cut and paste' membabitkan  pandangan klise tentang Syiah ternyata membantutkan malah boleh merosakkan usaha dialog dan pendekatan (taqrib) antara mazhab yang telah diusahakan sejak sekian lama.

 Sedangkan segala pandangan atau amalan membabitkan tentang soal kedudukan sahabat dan isteri Rasululullah, khalifah dan imamah dan perbezaan fekah serta pandangan melibatkan ilmu kalam sudah dibanyak dirungkai dalam siri-siri dialog termasuk di peringkat antarabangsa. Dan ruangan ini tidak cukup untuk membahasnya satu persatu.

Dalam hal ini adakah kita mengambil pendekatan `double standard' apabila tidak menyenaraikan ajaran Wahabi sebagai sesat meskipun jalur pemikiran itu banyak bertentangan dengan amalan masyarakat Islam Malaysia malah kadang kala bercanggah dengan jalur pemikiran Asyairah dalam akidah Ahlul Sunnah?

 Mungkin kita tidak boleh keterlaluan menyentuh soal Wahabi kerana bimbang hubungan dengan Arab Saudi terjejas, bagaimana pula hubungan diplomatik kita dengan Iran apabila menyatakan orang Syiah menghalalkan darah Sunni.

Sedangkan di Iran yang mazhab rasminya Syiah Imamiah mempunyai berjuta rakyat bermazhab Sunnah. Sunnah di sana diiktiraf dan diberikan hak termasuk mempunyai masjid sendiri.

Malaysia juga menerima ribuan pelajar dari Iran yang sudah pasti majoritinya berpegang mazhab Syiah Imamiah selain sejumlah pensyarah dan pegawai dagang daripada republik Islam itu.

Setiap tahun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menjemput qari dari Iran bertanding dalam majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di sini.

 Demografi di beberapa buah negara juga menyaksikan populasi Syiah begitu signifikan. Lebanon mempunyai populasi Syiah yang besar termasuk pergerakan Hizbullah yang sebenarnya mampu mengambil alih kerajaan tetapi menolaknya malah tidak mengisytiharkan pembentukan negara Islam.

 Dan adakah Malaysia memperjudikan nasib nyawa tentera kita di negara itu dengan menempatkan mereka dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Lebanon yang dikuasai Hizbullah, kalaulah benar Syiah itu dahagakan darah orang Sunnah.

 Perkembangan di Iraq pasca regim Saddam Hussein pula menyaksikan kedua-dua kumpulan Sunnah dan Syiah sudah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan. Di Bahrain pula pengikut Syiah adalah majoriti dengan kerajaan diperintah oleh dinasti monarki bermazhab Sunnah dan terdapat komposisi pengikut yang besar di Kuwait selain di Arab Saudi sendiri. 

 Berbalik persoalan di Malaysia, kedudukan pegangan Syiah ditolak apabila Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa pada 5 Mei 1996 memutuskan bahawa:

 `` Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :`` Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” dimansuhkan.''

Memetik kenyataan Muhammed Khusrin pula, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

 Sebelum ini, kedua-dua aliran dalam Syiah itu dimasukkan dalam takrifan bagi hukum Syarak iaitu ``hukum yang diterima oleh mazhab Syafie, Hanafi, Maliki, Hambali dan Syiah (Zaidiyah dan Jaafariah)'' dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984 di Selangor.

 Tanpa menafikan pembaharuan fatwa itu, ia  mempunyai asasnya bagi memperteguhkan aliran ASWJ sebagai pegangan arus perdana di negara ini bahkan bagi rantau ini yang disifatkan sebagai bumi Ahlul Sunnah.

 Bagaimanapun, keadaan ini menimbulkan polemik bagi mereka yang sudah berpegang dengan mazhab Syiah sama ada sebelum 1989 atau 1996. Adakah sebelum 1996 mereka itu tidak sesat tetapi selepas keputusan fatwa berkenaan dikeluarkan mereka dikategorikan pengikut ajaran sesat?

 Dalam hal ini Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata,  majlis fatwa tidak boleh menjadi `mandul' apabila hanya menjadi tempat mengeluarkan hukum setelah sesuatu isu ditimbulkan masyarakat dan memberikan jawapan secara spontan.

 ``Mereka mereka perlu menjadi majlis ulama yang memberikan bimbingan kepada umat Islam dan bukan sekadar jawab soalan orang. Sekali-sekala mereka perlu dikritik agar peranan mereka lebih jelas,'' katanya.

 Meskipun beliau beranggapan usaha taqrib antara mazhab sebelum ini seolah menemui kegagalan, pendekatan itu perlu diubah iaitu premis dialog tidak dijadikan medan menegak siapa benar, siapa salah sebaliknya menjuruskan kepada pelbagai bentuk kerjasama dan perbincangan.

 ``Aliran Sunnah dan Syiah sudah wujud lama dan sebarang langkah kekerasan dan perdebatan siapa salah dan benar dalam menghadapi isu itu tidak akan memberikan faedah. Kerana seperti tangan di sebelah kiri tidak boleh jadi sebelah kanan, begitu juga di sebaliknya,'' katanya.

 Katanya, umat Islam tidak boleh terperangkap dalam kepompong sendiri dan terjebak dengan permainan musuh seperti kuasa besar Ameriksa Syarikat (AS) sebagaimana pendedahan WikiLeaks bahawa Arab Saudi meminta agar Iran diserang bagi menghentikan program nuklear.

 Katanya, perkara tersebut ternyata boleh membangkit perbalahan antara Sunnah dan Syiah.

 Cuma beliau mempertahankan realiti nusantara yang telah memilih aliran Ahlul Sunnah bermazhab Syafie bersesuaian dengan sifat kelembutan masyarakat tempatan dan keadaan itu berbeza dengan negara seperti Iran yang kadang-kala lebih esktrem termasuk wujudnya kumpulan yang ghulat (sesat).

 Namun katanya, keadaan realiti masyarakat Islam negara ini masih terbelenggu dengan sifat konservatif sebenarnya mendedahkan segelintir kelompok kepada penerimaan aliran Syiah malah tidak kurang mengambil langkah lebih radikal.

 ``Jadi kita tidak boleh ikut cara orang Iran. Biarpun Islam yang datang ke nusantara dipercayai asalnya beraliran Syiah termasuk ketika kerajaan Melayu lama tetapi akhirnya masyarakat berubah kepada aliran Sunnah antaranya kerana faktor realiti sifat lemah lembut mereka,'' katanya.

Justeru, daripada membiarkan polemik dua aliran ini menjadi virus kepada umat Islam sewajarnya para ulama memberikan penjelasan sebenar dan tidak lagi membebankan umat Islam dengan sejarah lama pergeseran pemikiran mazhab yang kadang-kala lebih bersifat kepada politik.

 Dalam hal ini, pemaksaan pegangan sesuatu mazhab dan aliran pemikiran adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Persoalan perbezaan mazhab tidak akan selesai sampai ke hari kiamat.

 Kongkongan bagi membentuk hanya wujud satu aliran pemikiran tidak membantu meningkatkan daya kematangan daya fikir umat Islam apatah dalam keadaan senario dunia merentasi sempadan.

 Syiah dan Sunnah adalah dua aliran besar dalam Islam yang lahir dari Islam yang satu. Masing-masing memiliki persamaan dan juga perbezaan bermula daripada persoalan teologi hingga kepada bersifat furu'iyah (perincian cabang ajaran). Namun perbezaan lebih sering sampai ke telinga dan mata kita berbanding persamaan antara kedua-duanya.

 Dakwaan berkaitan Syiah juga kadang-kala ada yang tidak relevan apabila kenyataan yang dibuat terlalu umum tanpa perincian termasuk kebanyakan membabitkan aliran ghulat atau sesat seperti Sabaiah, Khaththabiyah, Qaramitah, Gurabiah dan lain-lain yang ada antaranya tidak wujud lagi di zaman ini. Malah ulama Syiah sendiri melepaskan diri daripada kelompok tersebut.

 Jadi masyarakat tidak perlu dipelecehkan tahap intelektualnya apabila timbul dakwaan Syiah tidak mewajibkan ibadah haji sedangkan Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad juga pergi menunaikan haji di Mekah malah ribuan jemaah haji Syiah turut bersama umat Islam Ahlul Sunnah menunaikan ibadat itu saban tahun.

 Seperti amalan qamezani pada sambutan 10 Muharam sengaja dibesar-besarkan oleh media Barat terutamanya, sedangkan berpuluh-puluh fatwa ulama Syiah sejak dahulu sudah dikeluarkan bagi pengharaman aksi memukul badan sehingga berdarah itu.

 Memetik tulisan tokoh Sunnah Indonesia, M. Quraish Shihab dalam bukunya; ``Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan: Mungkinkah?'' menyatakan tidak sedikit penganut Sunnah dalam fikah menjadi pengkagum politik Syiah sebagaimana yang terdapat di Iran dan Lebanon sebagaimana dahulu tidak sedikit tokoh mazhab Sunnah terlibat dalam praktis atau menyatakan kecintaan kepada anggota keluarga Nabi yang diakui sebagai imam-imam orang Syiah.

 Katanya, dulu Imam Syafie pernah dianggap Syiah sehinggakan beliau menggubah kata-kata,'' Apakah anda telah mengetahui bahawa ber-tasyaiyu' adalah mazhabku...aku nyatakan hal itu dan tidak akan kubatalkan. Bila cinta kepada keluarga Nabi dianggap rafdhan maka hendaklah manusia dan jin menyaksikan bahawa aku adalah rafidhi (golongan yang ditolak).

 Imam Syafie dalam banyak syairnya menzahirkan rasa cintanya kepada Ahlul Bait Rasulullah meskipun pada masa zamannya memerlukan keberanian yang jitu dalam berhadapan dengan penguasa yang bersikap keras terhadap pengikut keluarga Rasulullah.

 Kata Quraish, keragaman dalam memilih pegangan juga dinyatakan oleh Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya Al-Takfir al-Falsafi fi-al-Islam yang menjadi teks wajib di Azhar ketika zaman tahun 60-an; ``Persoalan ini dapat mencapai satu tingkat di mana anda dapat menemukan seorang Syiah yang partinya adalah Muktazilah atau Sunnah akidahnya dan Syafie atau Hanafi menjadi mazhabnya.''

 Tambahnya, ulama sepakat bahawa siapa yang mempunyai pandangan berbeza dengan kelompok umat Islam yang lain tidak serta merta dinilai sesat dan menyesatkan. Sebaliknya harus mempunyai bukti jelas dan tidak dibenarkan menilai berasaskan prasangka atau dakwaan semata-mata.

 Alumni Al-Azhar itu menyebut tentang keluhan Abdul Husain Ahmad al-Amini an-Najafi, penulis kitab al-Ghadir dalam membantah tulisan dalam enam buah buku oleh beberapa tokoh Sunnah seperti Rasyid Ridha, beliau berkata; ``Banyak tuduhan tidak benar dilontarkan kepada Syiah seperti bahawa mereka mencaci maki kebanyakan sahabat Nabi dan menilai Al-Quran sudah berubah dan berkurangan.

 Tuduhan itu katanya, disebabkan penulis-penulis berkenaan tidak mengambil secara langsung daripada sumber Syiah yang berautentik tetapi mengutip cerita-cerita daripada orang yang tidak dapat dipertanggungjawabkan.

 Dalam hal ini, masyarakat perlu didedahkan kepada senario semasa yang berlaku dalam dunia moden Sunnah dan Syiah bagi mengelakkan tuduh menuduh berlaku.

 Para ulama tidak seharusnya membiarkan umat Islam `ketinggalan kapal'  dengan suasana semasa sudah terjalin kerjasama dua aliran itu di peringkat global. Dalam dunia Syiah sendiri proses pembaharuan oleh kelompok usuli ke atas golongan akhbari mencapai kemuncaknya melalui ijtihad Ayatullah Imam Khomeini.

 Melalui revolusi pimpinannya yang bukan sahaja mengubah bahasa politik Islam global, seruan awalnya adalah perpaduan umat dan ia dibuktikan melalui sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin. Diteruskan penggantinya Ayatullah Sayyid Ali Khamenei, seruan perpaduan tidak pernah luput dalam perutusan ibadah hajinya setiap tahun.

 Begitu juga bagaimana fatwa Khomeini ke atas Salman Rushdie menyaksikan pemimpin Syiah itu bukan sahaja menunjukkan bantahan keras penghinaan penulis novel Satanic Verses itu ke atas Rasulullah tetapi  juga penghinaan terhadap isteri baginda.

 Ini masanya pelbagai bentuk kenyataan para pemimpin dan ulama Sunnah dan Syiah mengenai saranan merapatkan jurang perbezaan  segera didokumentasikan untuk dimanfaatkan umat Islam. Ini termasuk apa juga bentuk deklarasi termasuk seperti yang terkandung dalam usaha awal dirintis Al-Azhar, institusi utama Ahlul Sunnah di Mesir pada 1948 diketuai Sheikh Mahmud Shaltut serta tokoh-tokoh Al-Azhar yang lain seperti Sheikh Abdul Halim Mahmud, Muhammad Madany dan Sheikh Muhammad Ghazali.

 Selepas Revolusi Islam Iran 1979, sebuah badan `Majmak Taqrib Baina Mazahib' telah dibentuk dan ia berperanan sehingga sekarang.

 Meskipun ada yang pesimis terhadap usaha pendekatan mazhab, ia banyak terbantut apabila kadang-kala masalah penghinaan atau pelecehan ke atas mazhab yang lain terus berlaku atau kadang-kala sesuatu perbuatan individu tertentu dilabelkan sebagai pegangan mazhab.

 Seperti baru-baru ini, seorang tokoh Syiah, Yusuf al-Habib yang melempar kata-kata penghinaan ke atas isteri Rasulullah Saidatina Aisyah Abu Bakar. Tindakan itu mendapat bantahan keras daripada masyarakat Syiah seluruh dunia dan pemimpin agung Iran sendiri, Sayyid Khemenei mengeluarkan fatwa yang mengharamkan perbuatan melecehkan isteri-isteri nabi dan simbol-simbol Ahlul Sunnah.

 Setiausaha Agung Hizbullah, Sayed Hassan Nasrallah turut mendukung fatwa tersebut.
 
 Kritikan juga harus diberikan kepada segelintir ulama Syiah yang menggunakan premis pendekatan mazhab untuk menyakinkan kebenarannya pegangan mereka atau menyebarkan kepada masyarakat Sunnah selain kecenderungan pengikut Syiah terlampau terikut-ikut gaya Iran.

 Taqrib juga bukan bertujuan mencairkan pegangan mazhab sesiapa sebaliknya mendalami dan memahami perbezaan atau perkongsian persamaan yang wujud supaya kita tidak bermusuh dengan sesuatu yang kita jahil. Atau jangan kita berada dalam keadan seperti ``berperang dalam kepekatan malam sehingga tidak kenal masa satu kawan dan mana satu lawan''.

 Kita tidak perlu lagi mengulangi bagaimana keadaan, kalau di tanah Parsi ada peristiwa pembunuhan al-Halaj, di tanah Jawi  hukuman dikenakan terhadap wali Syeikh Siti Jenar dan di tanah Aceh, dibakar hangus kitab-kitab Hamzah Fansuri.

 Semuanya kerana persoalan berbeza aliran pemikiran dan  kemenangan hanya diperolehi jika sesuatu aliran mendapat lindungan politik penguasa.

 Meskipun kadang-kala ada kritikan yang ditimbulkan seperti tokoh Sunnah sendiri seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai taqrib tetapi ia lebih bersifat satu reaksi berpunca daripada sikap pelecehan atau penghinaan dilakukan ke atas mazhab Sunnah.

Beliau telah membetulkan tentang istilah pendekatan antara mazhab dengan lebih cenderung untuk memakai istilah pendekatan antara kumpulan (firaq).

Ini kerana persoalan perbezaan mazhab sebenarnya tidak lagi menjadi isu sementelah kedua-dua dunia Sunnah dan Syiah saling mengiktiraf kewujudan dan keabsahan masing-masing. 

 Dalam meraikan perbezaan aliran mazhab dan keberadaannya, seruan perpaduan umat yang kian berkumandang perlu diambil kira.

Sebagai contoh terbaru bagaimana Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan juga turut sama menyertai sambutan Asyura yang dianjurkan pengikut Syiah di Istambul. Ketika berucap pada sambutan itu, Erdogan menyatakan peristiwa Karbala adalah faktor penyatuan Sunnah dan Syiah di seluruh dunia.

 Beliau juga mengutuk aksi pengeboman ke atas pengikut Syiah yang sedang menyambut 10 Muharam di Chabahar, Selatan Iran. Menteri Dalam Negeri Iran, Mostafa Mohamad Najjar dipetik sebagai berkata, ejen-ejen di sebalik insiden pengeboman berani mati itu cuba itu mengaitkannya kepada kelompok Sunnah.

 Insiden membabitkan pengeboman atau serangan ke atas sambutan Asyura yang sering berlaku amat mudah untuk dimanipulasikan dengan menyatakan bahawa kewujudan Sunnah dan Syiah akan menyebabkan konflik berdarah.

Aksi-aksi tragis itu tidak sepatutnya dilabelkan kepada kelompok mazhab tertentu sebaliknya apa yang perlu ditangani ialah masalah ekstremisme yang kini menjadi isu global.

 Sebagaimana aksi pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, AS dalam peristiwa 11 September 2001 oleh pengganas tidak sepatutnya dilabel kepada Islam atau mazhab yang dianutinya. Ia adalah masalah ekstremisme sebagaimana fatwa kelompok al-Qaeda yang mengeluarkan fatwa `pembunuhan kolateral' dalam menentang penjajahan AS di Iraq.

 Situasi yang sama berlaku ke atas kelompok JI di Nusantara yang menyasarkan serangan bom dan tindakan berani mati ke atas orang awam terutama rakyat warga Barat atas nama jihad. Jadi punca masalah sekarang ialah soal ekstremisme dan keganasan termasuk sikap sekelompok yang suka melabel orang yang tidak sealiran sebagai kafir dan sesat. - HELMI MOHD FOAD
 *Artikel tersebut adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.