Sunday, May 22, 2005

MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-51

Profesional ganti ulama


Oleh HELMI MOHD FOAD (WARTAWAN UTUSAN)


SUARA yang mahukan pembaharuan dalam Pas kini semakin menyerlah terutama desakan agar kepimpinan parti diterajui oleh golongan profesional.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri telah menerima hakikat itu dengan membuat kejutan apabila buat pertama kali menamakan wanita yang juga profesional - Dr. Mariah Mahmud sebagai calon naib presiden.
Namun setelah lebih 20 tahun dasar `Kepimpinan Ulama' diperkenalkan, kekeliruan mengenainya terus berlaku apabila ulama dalam Pas masih merasa terancam dengan kehadiran golongan profesional.
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamed Daud Iraqi baru-baru ini melahirkan kebimbangan apabila ramai ahli dan penyokong parti itu cenderung kepada golongan cendekiawan atau profesional.
Beliau juga khuatir apabila sudah menjadi trend kepada gerakan Islam di negara ini memberikan tempat kepada orang yang pandai bercakap bagi menerajui kepimpinan.
Inilah cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli parti itu dalam pemilihan pada Muktamar Pas Ke-51 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) pada 1 hingga 5 Jun ini dalam usaha mereka melakukan perubahan.
Angin perubahan dapat dirasakan apabila jawatan Timbalan Presiden menyaksikan lapan tokoh telah dicalonkan.
Seperti yang dijangka, Datuk Dr. Haron Din muncul sebagai calon popular dengan mengatasi Hassan Syukri yang sebelum ini `mengecewakan' perwakilan Pas apabila mengambil keputusan bertanding hingga memaksa Haron menarik diri pada saat-saat akhir.
Ia diikuti oleh Naib Presiden sekarang, Azizan Abdul Razak dan Bendahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Turut dicalonkan ialah Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa; dua lagi Naib Presiden; Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Daeng Sanusi Mariok.
Dalam sejarah Pas, amat jarang berlaku pertandingan sengit bagi merebut jawatan tertinggi ketika pemilihan parti terutama selepas ia mengamalkan dasar kepimpinan ulama.
Pas cuba mengelak daripada disamakan dengan lawannya, UMNO dan kalau boleh perubahan kepimpinan dilakukan secara syura dan tanpa pertandingan.
Bagaimanapun ahli Pas melihat parti itu memerlukan satu lagi ikon ulama berkaliber setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Justeru jika dilihat senarai pencalonan jawatan nombor dua itu, sebahagian besar tokoh berkenaan mempunyai latar belakang ulama kecuali Hassan Ali dan Mustafa.
Bagi jawatan Presiden, Abdul Hadi sudah dijangka menang tanpa bertanding walaupun Pas Tanah Merah mencalonkan Haron bagi jawatan tersebut.
Menurut sumber dari Kelantan, sebenarnya pencalonan itu telah lama dibuat tetapi tidak didedahkan kepada umum.
Jika perkara itu diumumkan lebih awal, mungkin banyak pencalonan dibuat bagi memberi saingan kepada Hadi yang dilihat gagal memberikan nafas baru kepada Pas selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun seperti yang dikatakan dari awal, teraju Pas tidak mungkin diubah dengan drastik melainkan jika terdapat kesalahan besar sebagaimana berlaku pada zaman Datuk Asri Muda.
Oleh itu, Hadi tetap akan dikekalkan dalam tempoh yang lama.
Persoalannya, siapa yang layak menjadi timbalan kepada Hadi sekurang-kurangnya dapat kekal selama dua penggal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.
Jika mengambil kira pendirian Haron yang ingin menarik diri, perwakilan dari utara dijangka memberikan sokongan kepada Azizan.
Namun `isyarat' Nik Aziz tidak boleh diketepikan dan dengan itu kemungkinan besar undi akan beralih kepada Abdul Halim.
Menurut Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dengan mengambil kira pendirian Haron itu, Abdul Halim adalah calon paling sesuai untuk melakukan perubahan.
``Pertamanya, beliau orang lama dalam Pas serta arif selok-belok politik dan yang utamanya beliau mempunyai latar belakang ulama.
Bertahan
``Apabila beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, maka kini tiba masanya Abdul Halim membantu kepimpinan parti di peringkat Pusat,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dari segi percaturannya, pemilihan dijangka lebih tertumpu kepada pemilihan antara Abdul Halim dan Hassan.
Hassan ketika ditemui baru-baru ini membayangkan beliau akan terus mempertahankan jawatannya.
Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya merasakan Mustafa dan Hassan Ali akan lebih menumpukan usaha mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandang masing-masing.
Kedudukan Abdul Halim sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memberikannya kelebihan untuk memenangi jawatan timbalan presiden.
Ini bagi memastikan suara Pas dapat diketengahkan setelah ramai pemimpin besar parti Islam itu termasuk Hadi dan Nasharuddin tiada lagi dalam Parlimen.
Bagi Hassan pula, kontroversi dalam Koperasi Al-Hilal (Kohilal) yang mempunyai kaitan dengan Pas mungkin akan memberikan sedikit masalah kepadanya untuk terus bertahan.
Kebanyakan golongan muda dalam Pas juga melihat Hassan bukan pemimpin masa depan parti berdasarkan faktor usianya berbanding Hadi dan pendekatannya yang konservatif.
Selain itu, terdapat juga calon gabungan pemimpin baru dan lama dalam Pas seperti Mustafa dan Hassan Ali serta Nasharuddin.
Daeng Sanusi yang merupakan pemimpin veteran dari Johor mungkin sukar mendapat sokongan perwakilan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.
Tumpuan kedua pula ialah jawatan Naib Presiden yang lebih dilihat akan memberikan peluang kepada golongan profesional dalam Pas apabila sebanyak 20 tokoh dicalonkan.
Sumber berkata, Hassan Ali, Mustafa dan Husam Musa adalah tiga pemimpin yang mendapat pencalonan tertinggi, sekali gus membayangkan itulah barisan Naib Presiden Pas yang baru.
Jika berdasarkan `isyarat Nik Aziz', Husam mempunyai potensi besar untuk menduduki salah satu kerusi itu.
Dr. Mariah yang menduduki tangga keenam pencalonan juga mampu memenangi kerusi itu jika perwakilan mahu membuat kejutan, sekali gus ia merupakan lonjakan besar dalam politik Pas.
Tetapi adakah perwakilan Pas bersedia memberikan tempat kepada golongan wanita?
Hassan Ali pula dilihat perlu dikekalkan kerana imej profesionalnya amat diperlukan bagi mengembangkan pengaruh Pas di Selangor manakala Mustafa adalah pakar strategik politik dan pilihan raya Pas.
Bagi perwakilan utara, mereka mempunyai pilihan sama ada untuk mengekalkan Azizan atau memilih Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin.
Nasharuddin yang pertama kali dicalonkan bagi kerusi Naib Presiden mungkin mempunyai peluang untuk menang setelah mengambil kira hasil kerjanya sebagai Setiausaha Agung.
Perlu diingat, Nasharuddin adalah tokoh muda yang telah diangkat oleh Allahyarham Fadzil memandangkan beliau mempunyai imej ulama dan profesional.
Rata-rata ahli Pas menyatakan, lebih baik Nasharuddin diangkat menjadi Naib Presiden kerana beliau mampu menjadi jurucakap parti yang berkesan.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang berpengalaman dari segi pengurusan pula disebut-sebut tokoh yang layak menggantikan tempat Nasharuddin.
Sementara itu, Mohammad Sabu dan Mahfoz Omar yang telah ditolak pada pemilihan 2003 mungkin hanya boleh mencuba nasib kali ini atau kekal dalam barisan AJK Pas Pusat.
Selain itu, nama-nama besar yang dicalonkan ialah bekas Imam Besar Masjid Negara, Mohd. Taib Azamudden Md. Taib dan bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang.
Berdasarkan senarai pencalonan tersebut ternyata ahli Pas mahu kepimpinan ulama dikekalkan tetapi dalam masa yang sama golongan muda dan profesional perlu dinaikkan taraf untuk memegang jawatan tertinggi parti.
Justeru kebimbangan Dewan Ulama Pas mengenai ancaman terhadap kepimpinan mereka ternyata tidak berasas.
Ini kerana, jika Pas terus kekal dengan imej dan rentak lama, sudah pasti ia akan menjadi tidak relevan dan jauh sekali gerakan Islam yang berkesan. -UTUSAN.

Thursday, May 19, 2005

TAJDID HADHARI

Pertahankan al-Azhar: Tantawi

Oleh: HELMI MOHD FOAD

ISTILAH terorisme global yang muncul selepas peristiwa 11 September 2001 telah menyebabkan Islam seolah-olah berada di kandang orang salah.
Peristiwa tersebut memberi impak global hingga menyebabkan kuasa Barat terutama Amerika Syarikat (AS) menggunakan kempen memerangi terorisme global untuk menjadikan orang-orang Islam sebagai `mangsanya'.
Keganasan sekarang tidak lagi mengenal batas sempadan malah ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Namun pada gambaran dunia, aksi-aksi teror itu banyak melibatkan orang Islam.
Lantas ia membuatkan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam - sama ada kumpulan Islam, pusat pengajian Islam malah fundamental ajaran Islam itu sendiri dianggap sebagai mempunyai pengaruh pengganas.
Lebih menjolok mata apabila ada pihak yang sanggup menuduh Nabi Muhammad sebagai `a man of war' dan `a man of violence'.
Ini sebenarnya satu penerusan kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Islam sejak dahulu lagi.
Antaranya ialah tuduhan wartawan Inggeris, A.N. Wilson dalam bukunya yang cukup kontroversi, Against Religion: Why We Should Try To Live It (1992).
Jika Karl Marx menggambarkan agama sebagai candu rakyat, Wilson pula mengatakan agama adalah tragedi umat manusia dan ia mendorong orang menganiaya sesama mereka.
Dia juga menganggap mungkin lebih benar kalau dikatakan bahawa cinta Tuhan adalah akar kejahatan.
Ini semua menjadi satu cabaran kepada umat Islam terutama pada era globalisasi dalam mempertahankan amalan beragama (tadayyun) dan membina semula tamadun berasaskan pemikiran agama.
Menyedari cabaran ini, Sheikh al-Azhar, Dr. Mohammad Sayed Tantawi mempertahankan bahawa manusia Islam atau bukan Islam sebenarnya memerlukan agama.
Katanya, beragama dengan erti penganutan terhadap suatu akidah dengan penuh keyakinan dan mempertahankannya adalah perkara tabii bagi orang yang berakal.
Memetik kata-kata penulis Islam terkenal, Abbas Mahmud Aqqad, Tantawi menyatakan, tabiat semula jadi manusia itu adalah keperluan yang mendesak terhadap iktikad malah tadayyun tidak ubah seperti keperluan mendesak perut kepada makanan.
Ini bermakna jiwa juga akan lapar sebagaimana jasad merasa lapar.
Justeru Tantawi menekankan bahawa, konsep beragama yang sebenar adalah lahir daripada akidah sahih yang diserlahkan melalui pengabdian yang ikhlas kepada Allah dan beriman kepada para rasul, kitab, hari kiamat, qada dan qadar.
Malah seruan supaya beragama merupakan agenda utama semua rasul dan ucapan pertama yang disampaikan kepada umat mereka ialah: ``Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan selain daripada-Nya.''
Jelas Tantawi, apa yang terkandung dalam ajaran para nabi adalah seruan supaya manusia berakhlak mulia seperti bersifat benar, amanah, adil, bekerja-sama dalam ketakwaan dan bukannya pada perkara yang mendatangkan dosa dan permusuhan.
Atas kepercayaan inilah Tantawi menyeru umat Islam supaya menghayati amalan beragama yang sebenar dalam menghadapi proses globalisasi.
Malah dengan tegas Tantawi menyebut pendiriannya dalam mempertahankan asas-asas ajaran Islam yang selama ini diamalkan oleh al-Azhar.
Ini kerana atas nama memerangi terorisme global terdapat pihak yang beranggapan sistem pengajian Islam juga harus diubah kerana mendakwa ia juga mempunyai unsur-unsur yang menyuburkan keganasan.
Perkara ini boleh dianggap sebagai satu bentuk campur tangan yang keterlaluan kerana ia menyentuh secara langsung ke atas kepentingan Islam.
Umat Islam seluruh dunia telah lama menganggap pengajian Islam al-Azhar sebagai kayu ukur dan badan tertinggi sebagai rujukan.
Maka sebarang usaha untuk merendahkan martabat al-Azhar boleh dianggap suatu yang menyentuh kewibawaan Islam.
Tantawi berkata, pihaknya akan mempertahankan sistem pengajian Islam yang telah disusun oleh ulama-ulama al-Azhar sejak dahulu.
``Ini kerana ulama-ulama al-Azhar telah menyusun manhaj (kaedah) pengajian Islam sejajar dengan ajaran al-Quran dan Sunah. Ia terbina berdasarkan asas-asas yang hakiki,'' katanya.
Menurut beliau, al-Azhar menolak sebarang konsep globalisasi yang bertujuan mahu memperluaskan budaya tertentu ke atas negara lain termasuk perkara yang bercanggah dengan sistem pembelajaran dan akidah Islam.
Tantawi berkata, pada masa ini tidak ada negara lain atau pihak tertentu termasuk kuasa Barat yang berhak masuk campur dalam urusan penyusunan sistem pengajian Islam di al-Azhar.
``Tidak ada pihak yang boleh campur tangan dalam menetapkan sistem pengajian Islam di al-Azhar. Tidak dari Barat, Timur atau Selatan yang masuk campur dalam penyusunan kurikulum pengajian Islam di al-Azhar,''
``Kita tidak dapat menerima konsep globalisasi dengan tujuan memaksa untuk mengikut mana-mana pengajaran yang bercanggah dengan agama, nilai dan adabnya,'' jelasnya.
Sebaliknya tambah beliau, Islam amat mengalu-alukan jika sekiranya globalisasi yang bermaksud umat Islam boleh bekerjasama dengan mana-mana negara untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang boleh memberikan manfaat.
``Kalau mereka mahu belajar dari saya tentang ilmu-ilmu Islam, maka saya tidak boleh menyembunyikannya.
``Jika ini (maksud bekerjasama), kita ucapkan marhaban kepada globalisasi,'' ujarnya.
Mengenai dakwaan bahawa sistem pengajian Islam yang ada sekarang telah diresapi oleh unsur ekstremisme Tantawi menyatakan, ajaran Islam sebenarnya menolak sebarang bentuk keganasan terutama jika dilakukan ke atas orang yang tidak berdosa.
``Kita jelaskan bahawa Islam dengan tangan terbuka menerima sebagai usaha yang boleh membawa kepada kedamaian.
Malah katanya, pendirian al-Azhar terhadap keganasan cukup jelas apabila bertindak mengeluarkan ketetapan mengutuk dan menentang serangan 11 September ke atas New York dan Washington, AS.
``Pada hari kedua selepas peristiwa itu anggota Majmak Buhuth al-Azhar telah bersidang dan mengeluarkan ketetapan mengutuk serangan itu.
``Al-Azhar menolak serangan itu kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah agama, undang-undang dan kemuliaan insan,
Ini kerana jelasnya, mangsa serangan itu adalah orang yang tidak berdosa terdiri daripada rakyat AS, Eropah, Asia dan mereka bukan sahaja orang bukan Islam malah orang Islam sendiri.
Ujarnya, tindakan penyerang berani mati dalam peristiwa tersebut dianggap satu perbuatan jenayah.
``Ini adalah sikap ulama, kami menolak keganasan dalam apa jua bentuk sama ada dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam,'' katanya.
Malah Tantawi menyatakan golongan yang mendakwa memperjuangkan Islam di atas nama jihad melalui serangan ke atas orang awam sebagai perbuatan yang menyalahi agama.
Cukup dengan hanya satu ayat Tantawi berkata: ``Mereka itu salah.''
(Pandangan Tantawi tersebut dikeluarkan pada Multaqa Ulama Antarabangsa di Putrajaya pada 2003. Namun penulis rasa pandangan itu masih relevan untuk dihayati oleh pembaca) *

MENGAPA AHLUL BAIT?

Fatimah az-Zahra - Model Muslimah mithali

Oleh: HELMI MOHD FOAD


SALAH satu gambaran yang diberikan kepada gerakan Islam ialah sikap mereka dikatakan sering mendiskriminasi golongan wanita.
Wanita hanya dianggap satu elemen yang hanya akan merosakkan banyak cara hidup Islam.
Lantaran itu mereka sering diasingkan, malah terbiar tanpa pendidikan dan terpinggir daripada arus kemajuan.
Ini ternyata sungguh ironi kerana kebangkitan Rasulullah s.a.w. di antara lainnya dilihat sebagai pembela utama wanita yang sebelumnya dipandang hina pada mata masyarakat Quraisy jahiliah.
Pengiktirafan terhadap wanita bukan sahaja datang daripada Rasulullah, bahkan Allah s.w.t. sendiri menetapkan tokoh-tokoh wanita dalam Islam yang dianggap sebagai ahli syurga, iaitu Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra, Mariam binti Imran dan Asiah binti Muhazim.
Mereka bukanlah makhluk langit seperti bidadari yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran sehingga kita terpesona dan dibuai keindahan cerita-ceritanya.
Sebaliknya mereka adalah makhluk bumi sama seperti kita. Namun memiliki ketinggian sifat mulia dan kedudukannya di sisi Allah.
Sewajarnya mereka yang merupakan wanita mithali ini menjadi model utama umat Islam dan kaum hawa keseluruhannya.
Namun nama-nama wanita ideal ini begitu jarang sekali disebut, hatta ketika perayaan sambutan hari wanita sekalipun.
Wanita diibaratkan sebagai cahaya kehidupan atau nur tetapi persoalannya, di manakah akan kita temui nur yang ideal untuk dijadikan contoh?
Sedangkan di sisi umat Islam, sebenarnya ada nur yang hari lahirnya berkunjung setiap tahun - 20 Jamadilakhir - tetapi tiada siapa peduli, di antaranya ialah Fatimah az-Zahra.
Fatimah digolongkan dalam keturunan Ahli Bait yang disebut setiap kali dalam tahiyat akhir ketika solat.
Selawat ke atasnya sudah menjadi sebahagian daripada ibadah, sedangkan umat Islam melupakannya.
Bercakap mengenainya bukan sekadar untuk mengingati peribadi Fatimah itu sahaja, sebaliknya yang lebih utama ia adalah sebuah institusi yang penting.
Fatimah adalah lambang model bagaimana berjayanya sistem pendidikan dan tarbiyah Rasulullah terhadap anak-anak, yang daripadanya lahir generasi pencinta agama dan kebenaran.
Dia dididik dalam rumah Rasulullah dan dibelai oleh ibunya, Khadijah yang juga wanita syurga. Dan Fatimah sendiri adalah ibu kepada dua putera yang menjadi pemuda di syurga - Hassan dan Hussein.
Malah dia menghimpunkan semua sifat terpuji daripada tiga wanita syurga-Mariam, Khadijah dan Asiah- untuk diteladani oleh umat Muhammad.
Kemuliaan martabat Fatimah tidak hadir dengan begitu sahaja, malah ia sebenarnya berpunca daripada kemurnian peribadi hasil didikan ayahandanya, Rasulullah s.a.w. berdasarkan manhaj tarbiyah Islamiah.
Suci
Peribadinya juga terbentuk sejak dia dalam kandungan ibunya seperti dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, ``Ketika aku diangkat oleh Tuhanku di malam Isra' Mikraj, aku di bawa ke syurga oleh Jibril al-Amin. Aku menikmati sebiji buah daripada buah-buahan syurga lalu daripadanya terjadi nutfah di dalam sulbiku.
``Setelah beberapa waktu isteriku Khadijah melahirkan Fatimah. Maka ketika aku rindukan aroma syurgawi, kucium keharuman Fatimah.'' (As-Suyuti, Dur al-Manthur dalam tafsir Surah al-Isra:1)
Kalam dan huruf sama sekali tidak akan mampu melukiskan peribadi wanita suci ini.
Jika harus ada hari di mana para wanita kita dihargai, maka tidak ada tarikh lain kecuali pada hari kelahirannya, iaitu kelahiran yang memanifestasikan keindahan mutlak seorang perempuan; moral dan spiritual.
Kelahiran yang mengangkat harakat martabat perempuan untuk naik menjulang ke langit samawi dengan takwa dan keimanan.
Kelahiran yang menjadikan segenap lapisan kaum hawa mempunyai kiblat untuk diteladani.
Lahirnya Fatimah az-Zahra adalah berkat dan rahmat Ilahi kerana wujudnya yang agung dan mulia telah mengakhiri mitos tentang rendahnya martabat kaum wanita dan seterusnya mengangkat darjat kaum hawa.
Jika ayahandanya, Rasulullah s.a.w. adalah ciptaan yang paling sempurna dan suaminya adalah lelaki yang mulia, maka Fatimah adalah wanita yang paling mulia.
Dialah yang mendapat gelaran Sayyidati Nisail Alamin - penghulu wanita semesta alam.
Senyum Fatimah adalah senyum yang menghilangkan duka lara Rasulullah s.a.w. Fatimah juga digelar al-Kauthar - telaga yang mengalirkan rahmat dan nikmat Ilahiyah kepada Rasulullah sehingga Allah menyeru baginda agar mensyukurinya.
Adalah kebanggaan tersendiri bagi wanita Muslim agar mampu menelusuri jejak langkah Fatimah yang sempurna dalam ketakwaan, akhlak dan ilmu.
Malah umat Islam tidak akan terbuai dengan semua agenda sambutan hari wanita yang dianjurkan oleh Barat, sekiranya dapat digantikan dengan perayaan mengingati peribadi dan kelahiran Fatimah.
Perkara ini telah dilaksanakan lebih awal oleh Iran ketika berjaya mencapai kejayaan Revolusi Islam 1979, apabila Ayatullah Imam Khomeini mengisytiharkan setiap 20 Jamadilakhir sebagai hari sambutan wanita Islam sedunia.
Ini kerana para wanita di seluruh dunia seharusnya bangga mempunyai Fatimah sebagai suri teladan mereka.
Puteri Rasulullah adalah wanita mulia yang hidup secara sederhana. Fatimah tinggal di sebuah rumah kecil, tempat beliau mendidik tunas-tunas insan kamil yang menampung pancaran cahaya Fatimah, cahaya yang menerangi segala yang wujud, daripada butir-butir pasir sahara hingga bintang-bintang di langit dan malaikat di jagat raya.
Rumah Fatimah adalah ruang singgahnya pancaran cahaya Ilahi serta tempat tumbuh dan besarnya manusia-manusia pilihan.
Walaupun kecil dan kosong daripada perhiasan, namun penuh dan kaya dengan kemanusiaan, di situlah rumah di mana berkumpulnya Muhammad sebagai datuk, Ali sebagai ayah, Hasan, Hussein, Zainab dan Ummu Kalthum sebagai anak-anak dan kasih sayang Fatimah sendiri sebagai pembentuknya.
Sebagai pendamping hidup Imam Ali r.a., Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh tanggungjawab.
Bahkan beliau turut menggerakkan beberapa protes sosial terhadap status-quo kekhalifahan Ali r.a. dan pencerobohan ke atas tanahnya, al-Fadak.
Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Imam Ali r.a. merasa tenang dan damai di sisinya.
Pelbagai masalah yang timbul hari ini harus diselesaikan dengan bijaksana dan Islamik.
Wahyu tidak hanya menyajikan nasihat, tetapi menampilkan juga teladan. Salah satunya adalah Fatimah az-Zahra yang merupakan citra besar dan istimewa merangkumi politik, sosial dan jihad.
Kehidupan Fatimah adalah samudera yang diwarnai dengan perjuangan, kerja keras dan - terpenting - ialah syahadah.
Muslimah yang bekerja di luar rumah, sama ada sebagai doktor, pensyarah pengajian tinggi dan sebagainya yang sesuai pada tempatnya, namun tetap harus memberikan keutamaan di rumah.
Masalah keibuan dan status isteri dalam rumah tangga, merupakan hal yang amat fundamental dan penting.
Anda bukanlah wanita sempurna jika tidak dapat menangani amanah dalam rumah.
Kasih sayang memerlukan satu penggerak utama dan itulah wanita yang menjadi ibu kepada rumah tangga.
Tanpa kehadiran wanita ideal seperti Fatimah - rumah tangga akan kering tanpa makna.
Justeru pemikiran dan keperibadian Fatimah perlu difahami oleh masyarakat dengan pelbagai wacana dan diskusi ilmiah secara terdidik.-UTUSAN