Sunday, April 20, 2008

Antara Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam

Entah tetiba selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, mulalah kedengaran soal hendak kembali kepada perpaduan Melayu, soal ketuanan Melayu.

Retorika perpaduan berkekalan sepanjang zaman, sedangkan realitinya kita sendiri lupakan soal perpaduan ketika kita berada pada posisi yang sepatutnya.

Mengapa tidak memandang kepada dunia yang lebih luas, mari kita bicara soal perpaduan dunia Islam, soal penindasan dan agenda kuffar untuk menghancurkan Islam, -tidak kira melayu Islam, Arab Islam, Parsi Islam, Cina Islam, India Islam ....sunni atau syiah, pembantaian kuffar tidak mengenal wajah, kulit, bangsa dan mazhab.

Mencari asas titik pertemuan perpaduan.. nah buktikan di mana perpaduan kita umat Islam, wahai umat Melayu sekelian.

14 Mei ini genap 60 tahun penjajahan Israel ke atas bumi Islam Palestin, bumi yang dijajah selepas mereka merobek-robek empayar Islam di bumi Melayu.

Semua pemimpin Melayu boleh berdiri atas platfrom perjuangan Palestin untuk menyatakan penentangan kita umat Islam atas penjajahan dan penubuhan negara haram Israel itu.

Dan tiba juga masanya kita bercakap soal perpaduan yang melangkau sempadan mazhab dan negara. Sila lihat http://www.ammanmessage.com/ -pengesahan para tokoh dan pemimpin dunia Islam untuk sama-sama berlapang dada menerima antara satu sama lain, mengiktiraf persatuan umat dalam kepelbagaian fikrah dan mazhab. http://ammanmessage.com/index.php?option=com_content&task=view&id=17&Itemid=31
pergi kepada Malaysia-endorsement diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ∫Prime Minister
Dr. Anwar Ibrahim § π Former Deputy Prime Minister
Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman §Minister in the Office of the Prime Minister
Prof. Dr. Kamal Hasan ¶President of the Islamic International University, Kuala Lumpur
Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali § π Dean of the International Institute of Islamic Thought and Civilisation
Mr. Shahidan Kasem §First Minister of Perlis State, Malaysia
Mr. Khayri Jamal Al-Din §Deputy Chairman for the Youth Sector, the United Malays National Organisation
Dr. Salih Qadir Karim Al-Zanki *International Islamic University

Sunday, April 13, 2008

Kebebasan akhbar tidak menimbulkan konflik

Di petik dari: Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Kebebasan akhbar yang lebih meluas tidak akan mendatangkan konflik antara penulis blog dan media arus perdana sebaliknya akan membolehkan mereka menyatakan pemikiran mereka kepada orang ramai secara terbaik.

Menurut Editor Malaysiakini, S. Vicknesan berkata kebebasan akhbar memberi ruang kepada penulis blog untuk berbahas dan membincangkan sesuatu tajuk dengan lebih bebas.
"Sebab yang menimbulkan konflik antara penulis blog dan media sebelum ini ialah disebabkan terdapat anggapan bahawa media utama tidak melakukan tugas mereka," katanya dipetik Bernama semasa sesi soal jawab pada forum mengenai peranan akhbar, di sini semalam anjuran bersama Malaysia Think Tank London dan Institut Akhbar Malaysia.
Ia disertai Pengurus Besar Bernama, Dato' Azman Ujang, editor akhbar The Sun, Zainon Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRA, Karim Raslan.
Vicknesan berkata sekiranya media arus perdana dibenarkan berlaku wajar dan terdapat kebebasan akhbar yang mencukupi di masa depan, orang ramai boleh mendapat gambaran sebenar apa yang sebenarnya berlaku dan tidak terlalu bergantung kepada penulis blog untuk mendapatkan berita.
Ditanya sama ada media perdana harus menukar cara laporan mereka, beliau berkata: "Saya tidak fikir mereka patut menukarnya kerana ia telah menepati prinsip kewartawanan. Hanya perubahan keseluruhan dari segi undang-undang akhbar dan naungan politik yang perlu diberi perhatian."
Karim pula berkata cabaran sebenar kepada media arus perdana sekarang ialah mereka perlu bebas.
"Wartawan dan editor kini bekerja dalam terlalu banyak kekangan," katanya. - mks.

MPI Anjur Kursus Kewartawanan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Seramai 33 wartawan muda dari beberapa negara dunia ketiga termasuk 14 orang dari Malaysia akan menyertai Zamalah Kewartawanan Antarabangsa selama enam minggu anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Universiti Malaya di sini mulai esok hingga 24 Mei.Seramai 19 wartawan asing itu mewakili Zimbabwe, Afrika Selatan, Lubnan, Arab Saudi, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Laos, Brunei, Ukraine, Bangladesh, Vietnam dan Seychelles.Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata program tersebut diadakan dengan kerjasama Universiti Malaya dan The Thomas Foundation dari United Kingdom yang bertujuan meningkatkan kemahiran para peserta."Program ini bertujuan mempertajamkan mata pena para peserta dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang penulisan berita, teknik menemuramah, penyuntingan berita dan rencana, kewartawanan foto, pemberitaan jenayah, pemberitaan bisnes, kewartawanan dan undang-undang serta etika kewartawanan," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.Menurut beliau, untuk mencapai matlamat memperkasakan ilmu kewartawanan para peserta, MPI telah membariskan pakar media antarabangsa dan tempatan untuk membimbing para peserta kursus.Penceramah luar yang diundang termasuk Gerry Thurston, seorang konsultan dari The Thonson Foundation, editor foto Associated Press yang berpangkalan di Hong Kong dan pemenang Hadiah Pulitzer, David Longstreath dan editor kanan The Jakarta Post, Imanuddin Razak.Penceramah dari Malaysia pula antara lain terdiri bekas editor Kumpulan New Straits Malaysia, Datuk Ahmad Talib, pengurus besar Bernama, Datuk Azman Ujang, ketua pengarang Bernama, Yong Soo Yong, Prof Dr Mohd Safar Hashim, Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Prof Dr Ahmad Murad Marican.Chamil berharap program pertama kali dianjurkan MPI akan juga menjalinkan hubungan intim dan membina rangkaian persahabatan yang berkekalan di kalangan mereka."Moga-moga selepas kembali ke tanah air masing-masing, mereka dapat meneroka kemungkinan untuk bertukar-tukar berita dan menjadikan media masing-masing sebagai sumber berita penerbitan masing-masing."Dengan itu media dunia ketiga tidak lagi perlu bergantung kepada agensi berita barat untuk mendapatkan maklumat terkini tentang negara dunia membangun, katanya.Zamalah itu akan dirasmikan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek Rabu ini.Kursus tersebut dibiayai oleh kerajaan dan ditaja bersama oleh Pelancongan Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi, Petronas, Genting Resort World Berhad, AmBank Berhad, Maxis Berhad, AirAsia, Pusat Penyelidikan Perhutanan Kepong dan Telekom Malaysia.Selain ceramah, sesi berkongsi pengalaman dan latihan praktikal, para peserta juga akan dibawa melawat Langkawi, Kota Kinabalu, Kota Baharu, Genting Highlands dan kilang Proton di Shah Alam.

Saturday, April 12, 2008

Ayah Cik yang kukenali...


Ustaz Hadi yang lebih dikenali sebagai Ayah Cik...
Semoga cepat sembuh. Tuhan tu maha Agung..biarpun beza parti politik, bila ayah cik sakit ramai pemimpin ziarah. Tu namanya perpaduan Islam. Datuk Man Bakar dan menteri besar, Datuk Ahmad Said pun mari ziarah.
Harap-harap lepas ni pakat-pakatlah bersatu wahai umatku.
Ayah Cik yang ku kenali... kadang-kadang bab politik ada beza pandangan tapi ayah cik tetap aku ingati sebagai guru tak rasmiku ketika belajar di Sheikh Malek dulu. Ingat lagi selalu gok tembo (keluar tanpa kebenaran) asrama nok gi kuliah ayah cik di rusila. Tahan je mana-mana kereta.... pakai baju melayu kopiah putih, duk tepi jalan, tumpang la mana-mana kereta hok nok gi rusila. Masa tu pitis tak berapa nak ada buat tambang bas.
Gi kuliah ayah cik nak buat modal ceramah di asrama dan pengisian usrah. Ramai juga kawan-kawan nak tiru style ayah cik ceramah tapi tak berapa nak jadi. Tapi ayah cik ni adalah antara pemidato yang hebat seperti kata guru pidato aku masa kat UIA, Saifuddin Abdullah (sekarang ni Ahli Parlimen Temerloh).

Friday, April 11, 2008

Ali Helmi...

Moga mereka menjadi Ali dan Fatimah kita, Hassan dan Hussin kita....

Zahra', Zahira, Nur Ali Irfan, Nur Hani, Nur Ali Zaidan, Nur Hana.

Mampukah ayah kembalikan masa yang telah ayah `rampas' dari mu wahai anak-anakku. Wahai Ali, Fatimah, Hassan dan Hussin ku...


Sunday, April 06, 2008

Jangan jadi dinosaur

Dinosaur, atau haiwan pra sejarah. Kehebatannya terletak pada saiznya yang besar, lantas menarik rasa takjub bagi kita yang tidak lagi berpeluang menatapnya kini. Ini kerana binatang besar itu sudah lama lenyap dek zaman.

Lupusnya dinosaur itu kerana banyak sebab. Perubahan cuaca, bencana alam - tsunami, gempa dan sebagainya.

Perkataan dinosaur itulah yang saya sebut ketika pertemuan dengan pengurusan syarikat baru-baru ketika NUJ-UM dijemput untuk turut sama mengetahui hala tuju Utusan bagi mendepani cabaran akan datang.

Jangan Utusan jadi dinosaur...mungkin kata-kata itu mungkin satu amaran yang kasar. Tetapi itulah ingatan yang perlu difikirkan sebelum ia benar-benar terjadi.

Perbincangan hari itu banyak berkisar soal impak PRU-12 dan pasca pilihan raya setelah empat lagi negeri yang dilihat kubu BN telah jatuh ke tangan pembangkang.

Tempias kesannya turut terkena pada media, apabila sepanjang tempoh kempen PRU-12 jumlah edaran ahkbar media perdana merudum (malah sebelum ini laporan ABC juga telah menunjukkan penurunan).

Kadar penurunan itu memang mengejutkan dan tidak perlu disebut di sini kerana nanti laporan rasmi ABC semua orang boleh tatap.

Sebelum ini ada analisis menyatakan kekalahan BN berpunca daripada kempen media arus perdana yang terlalu berpihak kepada parti pemerintah.

Sejauh mana dakwaan itu benar atau sebaliknya belum cukup kuat untuk dibuktikan tetapi dari segi `fact and figure', wajah media kita semasa pilihan raya jelas memberikan impak kepada penurunan edaran.

Tetapi amat mengejutkan apabila selepas pilihan raya umum, jumlah edaran kembali naik ekoran terdapat laporan yang lebih seimbang termasuk isu kemelut pembentukan kerajaan.

Situasi tersebut memberikan petanda yang kalau kita buat `ramdom survey' bahawa khalayak pembaca menolak laporan yang keterlaluan berpihak kepada kerajaan lantas membuatkan mereka beralih kepada media alternatif terutama blog yang menjadi senjata ampuh pembangkang.
Sama ada apa yang dipaparkan benar atau tidak bukan persoalan. Manusia yang sedang kelaparan dan kehausan pasti mendapatkan apa saja sumber makanan dan minuman untuk menyambung survival hidup.
Begitu juga mereka yang kehausan maklumat, pasti mencari apa saja sumber untuk mendapatkan maklumat.

Jadi untuk memastikan media perdana tidak ditelan zaman dan akhirnya menjadi dinosaur, sewajarnya laporan seimbang menjadi jawapan tepat walaupun ia tidak menjamin sepenuhnya penurunan jumlah edaran dan pembaca boleh dikekang.

Malah sejak sekian lama golongan wartawan memperjuangkan kebebasan akhbar iaitu memberikan laporan dan liputan yang seimbang dan bersifat objektif - bukan semata-mata propaganda yang akhirnya membawa rebah.

Penurunan edaran dan jumlah pembaca menjadi perkara yang kritikal kerana ia memberikan kesan kepada kemasukan jumlah iklan yang menjadi punca pendapatan syarikat akhbar sekali gus menentukan sama ada syarikat boleh mencapai keuntungan atau tidak.

Keuntungan amat penting kerana tanpa keuntungan bagaimana kesatuan mempunyai hujah kuat untuk menuntut penambah baikkan dalam Perjanjian Bersama (CA). Kalau di Utusan, kalau tidak untung bonus pun tidak ada.

Jika ditanya kepada mana-mana wartawan termasuk pengarang-pengarang memang keseimbangan laporan merupakan satu idealisme. Wartawan yang tidak memasuki sekolah kewartawanan pun percaya kepada idealisme itu.

Namun kekangan sebagai akhbar aparatus parti membuatkan laporan seimbang tidak diberikan. Pada peringkat ini, status quo sebagai akhbar aparatus parti akan kekal. Utusan sejak hari pertamanya tidak pernah `derhaka' kepada UMNO walaupun pernah satu ketika dikuasai golongan kiri.

Cuma yang perlu difikirkan ialah keseimbangan dalam laporan tanpa menjejaskan statusnya sebagai aparatus parti dan dalam masa yang sama ia menjadi akhbar rakyat. Inilah cabaran yang dihadapi oleh wartawan.

Mengapa ia penting? Pengalaman sepanjang PRU-12 jelas membuktikan, ketiadaan laporan tentang situasi di bawah yang sebenarnya mencetuskan gelombang tsunami politik akhirnya menjadi satu kejutan, tidak dapat diketahui oleh khalayak pembaca.

Kalau baca akhbar siapa pun tidak sangka keputusan pilihan raya umum begitu jadinya.
Tetapi adilkah kalau menyatakan akhbar menjadi punca kekalahan BN sebagaimana benarkah kemenangan parti selama ini juga disebabkan akhbar?

Kalau pembangkang merasa tidak mendapat tempat dalam media, ada juga calon BN tidak mendapat tempat. Bayangkan dalam tempoh 13 hari berkempen, calon BN di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN, adakah semuanya mendapat tempat dalam akhbar?

Dalam hal ini semua pihak perlu bersikap adil terhadap akhbar. Wajarkah menolak akhbar perdana kerana semata-mata wajahnya yang pro kerajaan dan tidak ada langsung ruang untuk pembangkang? Itu pandangan yang kurang tepat rasanya.

Lagipun adakah semua orang yang membaca akhbar itu hanya mahu mendengar cerita politik. Tidak juga. Ini kerana pembaca juga berminat untuk mengetahui pelbagai cerita-cerita menarik selain politik.

Ini disaksikan majalah seperti Mastika yang dulunya memaparkan cerita-cerita yang heavy akhirnya hampir dikuburkan.

Tetapi majalah digest itu bangkit dari kubur apabila edarannya melonjak sampai 300,000. Kredit perlu diberikan kepada sahabat saya Zulkarnain yang kini memimpin majalah itu dan bekas pengarangnya, Zainol Fakir (guru kewartawanan saya) kerana muncul dengan idea `cerita dari kubur'.

Cerita-cerita human interest, life drama dan misteri ternyata menarik minat khalayak pembaca. Akhbar tabloid juga menunjukkan peningkatan edaran termasuk Kosmo! apabila memaparkan berita-berita yang keluar daripada kerangka politik.

Namun akhbar terpaksa akur kepada kehendak pasaran, kehendak masyarakat dengan kini sokongan popular kepada pembangkang meningkat. Justeru akhbar-akhbar perlu diberikan lebih kebebasan dalam menyajikan laporan meskipun sebenarnya tidak ada kebebasan yang mutlak di dunia.

Sekurang-kurangnya akhbar perdana terutama suara keramat Melayu, Utusan akan terus relevan. Ia akan terus menyajikan pandangan zaman dan masa depan.