Sunday, April 13, 2008

Kebebasan akhbar tidak menimbulkan konflik

Di petik dari: Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Kebebasan akhbar yang lebih meluas tidak akan mendatangkan konflik antara penulis blog dan media arus perdana sebaliknya akan membolehkan mereka menyatakan pemikiran mereka kepada orang ramai secara terbaik.

Menurut Editor Malaysiakini, S. Vicknesan berkata kebebasan akhbar memberi ruang kepada penulis blog untuk berbahas dan membincangkan sesuatu tajuk dengan lebih bebas.
"Sebab yang menimbulkan konflik antara penulis blog dan media sebelum ini ialah disebabkan terdapat anggapan bahawa media utama tidak melakukan tugas mereka," katanya dipetik Bernama semasa sesi soal jawab pada forum mengenai peranan akhbar, di sini semalam anjuran bersama Malaysia Think Tank London dan Institut Akhbar Malaysia.
Ia disertai Pengurus Besar Bernama, Dato' Azman Ujang, editor akhbar The Sun, Zainon Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRA, Karim Raslan.
Vicknesan berkata sekiranya media arus perdana dibenarkan berlaku wajar dan terdapat kebebasan akhbar yang mencukupi di masa depan, orang ramai boleh mendapat gambaran sebenar apa yang sebenarnya berlaku dan tidak terlalu bergantung kepada penulis blog untuk mendapatkan berita.
Ditanya sama ada media perdana harus menukar cara laporan mereka, beliau berkata: "Saya tidak fikir mereka patut menukarnya kerana ia telah menepati prinsip kewartawanan. Hanya perubahan keseluruhan dari segi undang-undang akhbar dan naungan politik yang perlu diberi perhatian."
Karim pula berkata cabaran sebenar kepada media arus perdana sekarang ialah mereka perlu bebas.
"Wartawan dan editor kini bekerja dalam terlalu banyak kekangan," katanya. - mks.

No comments: