Friday, September 15, 2006

UCAPAN PENGERUSI NUJ-UM, HELMI MOHD FOAD PADA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN BERSAMA 2002-2005 DAN 2005-2008 PADA 5 SEPTEMBER 2006

Firman Allah SWT
``Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
``Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.''

Al-Hujurat 9-10


Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kerana kita dapat mengadakan majlis yang cukup bermakna dan mempunyai siginifikannya yang tersendiri.
Ia bersesuaian dengan sambutan bulan kemerdekaan negara dan juga diambang kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak yang tinggal hanya beberapa minggu lagi.
Jika boleh saya imbas kembali pada 16 September 2004, saya berucap sebagai seorang pemimpin jalanan, memalu gendang perang ketika ahli-ahli NUJ-UM turun berpiket ekoran rundingan CA menemui jalan buntu. Tetapi pada hari ini kesatuan membuktikan kita dapat duduk bersama dalam satu majlis yang penuh dengan erti kedamaian.
Allah telah mentakdirkan dua golongan mukmin yang bertelingkah boleh mencapai perdamaian jika masing-masing mahukan perdamaian.
Hari ini ia bukan sekadar kemenangan sesuatu pihak ke atas pihak yang lain tetapi ia adalah kemenangan kita semua dalam menundukkan ego masing-masing, menundukkan amarah masing-masing - kerana jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu.
Sebenarnya sebelah kaki kita telah berada di mahkamah apabila pada 19 September ini telah ditetapkan tarikh bagi pendengaran kes pertikaian CA ini buat kali pertama setelah kita naik muak menanti keadilan ditegakkan - justice delayed justice denied!
Bukan kerana gentar bertarung di tengah gelanggang dan bukan kerana hilangnya semangat pantang berundur membujur lalu melintang patah.
Sebaliknya kita tahu mahkamah mempunyai keadilannya yang sendiri. Tetapi kita sendiri sebenarnya boleh menyelesaikan pertikaian ini secara damai tanpa melibatkan pihak ketiga.
Saudara dan saudari sekelian.
Bukan suatu yang mudah untuk kesatuan memberikan kata putus atas tawaran syarikat untuk menyelesaikan pertikaian CA ini. (Betapa sukarnya) saya ini ibaratkan kedua-dua tangan tergantung di langit, kedua belah kaki terpasak di bumi.
Tetapi inilah kali pertama segala kandungan CA dibentangkan secara terperinci kepada ahli-ahli untuk membuat pertimbangan walaupun masih ada yang tidak puas hati.
Malah episod ini mencatatkan satu lagi warna warni dalam NUJ-UM, apabila kesedaran politik di kalangan ahli cukup memberangsangkan berbanding 2 atau 3 tahun sebelum ini yang penuh dengan kemalapan dan kedukaan.
Jentera di kalangan akar umbi sendiri bergerak untuk menentukan nasib mereka.
Saya sekali-kali tidak akan bersetuju jika ahli-ahli menolak tawaran ini. Saya sebagai pemimpin mendengar segala rintihan. Saya mendengar ngauman sang penjaga belantara dan saya juga mendengar bunyi titisan embun pagi, bunyi pancaran bunyi sang menteri pagi, saya mendengar bunyi daun ditiup angin dan saya juga mendengar bunyi daun jatuh ke bumi.
Atas dokongan para ahli, barisan exco NUJ-UM telah bekerja keras untuk memastikan sesuatu yang diinginkan oleh ahli-ahli dapat dicapai.
Dan apa yang dicapai ini adalah hasil pengorbanan yang besar. Ia merupakan satu ijtihad bagi satu perjuangan yang bersifat nafas panjang.
Ini kerana menghapuskan sistem gratuiti bukan bererti tamatnya satu sejarah tetapi bermulanya satu sejarah baru dengan kita memandang dunia melalui perspektif yang berbeza.
Setelah memikirkan berdasarkan kaedah fiqh al-awlawiyat (fikah prioriti) dan fiqh muawazanat (fikah timbang tara) sistem baru iaitu KWSP lebih menjamin masa depan pekerja dan dalam masa yang sama untuk terus memastikan syarikat terus berdaya maju.
Kesatuan menaruh kepercayaan bahawa segala kehilangan besar diakibatkan pemberhentian sistem gratuiti dapat ditampung semula sekiranya syarikat boleh memberikan jaminan kenaikan gaji yang lebih kompetitif pada masa akan datang.
Dalam hal ini, kesatuan mahu semangat saling hormat menghormati di antara kesatuan dan majikan dapati diteruskan kerana CA yang selama ini kita tandatangani mempunyai rohnya yang tersendiri.
Ia bukan sahaja mengandungi terma-terma perkhidmatan tetapi juga tanggungjawab sosial syarikat ke atas para pekerja.
Atas dasar itu, NUJ-UM berharap sebarang perubahan membabitkan nasib pekerja tidak hanya ditentukan oleh teori-teori ekonomi dan dasar-dasar korporat yang kadang kala boleh mencengkam pekerja tetapi biarlah ia mengambil kira nasib dan manfaat yang sedia ada dinikmati.
Ini memandangkan dalam banyak hal para pekerja turut berkorban untuk sama-sama menjayakan operasi syarikat. Contoh paling utama, bagaimana pekerja turut sama berkongsi beban kos pengangkutan ekoran kenaikan harga minyak. Sejak 2002 hingga 2006 para pekerja telah menyerap kesan kenaikan harga petrol sebanyak 62 sen dengan kadar paling tinggi sebanyak 30 sen pada tahun ini.
Tetapi pada masa yang sama kesatuan juga menghargai ehsan syarikat yang selama ini menanggung kos-kos yang lain walaupun ada perkara tertentu yang tidak terkandung dalam CA.
Inilah yang saya katakan tadi CA kita mempunyai rohnya, ia tidak boleh dibaca secara literal tetapi dihayati dengan penuh makna yang tersirat.
Apa yang menjadi hasrat kesatuan ialah segala manfaat yang sedia ada dapat dikekalkan dan segala kekurangan dapat terus diperbaiki dalam memastikan CA ini terus dinamik pada masa akan datang.
Dengan termeterai CA kali ini yang sekali gus menamatkan pertikaian selama lebih empat tahun ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban para pekerja dan memberikan mereka sedikit ruang untuk menyelesaikan pelbagai kekangan.
Saya juga berharap para pekerja selepas ini dapat meningkatkan produktiviti, kreativiti dan mendapat motivasi baru untuk terus berbakti.
Tidak ketinggalan barisan Ecxo kesatuan, semoga selesainya pertikaian ini, mereka dapat terus bergerak untuk mengukuh dan memperbanyakan aktiviti untuk kebaikan para ahli.
Kepada syarikat, kesatuan berharap tahun ini kita dapat terus mengekalkan keuntungan bagi memastikan segala manfaat termasuk bonus dapat dinikmati pada tahun ini.
Akhirnya, sekian. Wassalam

HIDUP NUJ, BELA HAK PEKERJA!!!!!!

Putrajaya 5 September 2006

No comments: