Friday, August 22, 2008

Merjernihkan pemikiran Islam Liberal

Oleh HELMI MOHD. FOAD(WARTAWAN UTUSAN)

KEDANGKALAN ilmu terhadap pemikiran dan asas-asas ajaran Islam sering kali menjerumuskan umat Islam dalam pertelingkahan yang tidak kunjung padam. Adakalanya mereka tersepit antara amalan tradisi yang dianggap sebagai satu yang syarie.
Seperti bersumpah menjunjung al-Quran. Di satu pihak mempertahankannya bahawa itulah cara Islam, manakala ada pihak lain menganggap ia tiada dalam kamus Islam atau lebih menjengkelkan mendakwa ia adalah manipulasi politik.
Pertelingkahan juga muncul apabila pemikiran tradisi Islam bertembung dengan proses modenisasi yang disertakan dengan pelbagai konsepnya seperti demokrasi, globalisasi dan kebebasan hak asasi.
Sampai di sudut ini, maka mula kita bertanya di manakah Islam untuk mengambil peranannya lantas mendahului pemikiran dan memimpin tindakan. Dalam hal ini, Islam telah bersiap sedia untuk menghadapinya apabila setiap disiplin ilmu terdapat prinsip, kerangka dan metodologinya tersendiri yang bertunjang kepada nas syarie, al-Quran dan sunnah.
Para ulama meletakkan asas-asas metodologi penting, bagaimana berinteraksi dengan isu-isu pemikiran, aqidah, hukum, kemasyarakatan, maslahat dan sebagainya. Maka dari situ Islam berdiri teguh dengan hujah-hujah sama ada naqli atau aqli.
Datanglah apa saja cabaran, intelektual dan pendokong Islam tidak harus gentar kerana Islam tertegak dengan hujah. Cuma bersediakah mereka untuk menggalas cabaran itu termasuk berdepan dalam forum yang terbuka atau tertutup.
Ironinya, terdapat di kalangan umat Islam sekarang berusaha berbicara mengenai Islam tanpa asas kukuh dan tanpa metodologi yang mantap. Mereka berusaha membebaskan diri daripada dasaran hukum yang telah sedia terbina.
Bergantung semata-mata kepada maqasid al-syariah sehingga mengabaikan metodologi yang telah digariskan sehinggakan semua orang boleh bercakap tentang Islam tanpa mengira latar belakang keilmuannya.
Keadaan ini, sering kali dikaitkan dengan perkembangan atau pembudayaan pemikiran Islam liberal. Mungkin tidak dinamakan secara rasmi atau ada individu tertentu mengaku secara terbuka beliau adalah pendokong Islam liberal, namun pandangan-pandangan Islam liberal kian dirasai dewasa ini.
Misalnya, bolehkah kita menerima desakan-desakan kumpulan tertentu agar poligami diharamkan sedangkan ia jelas diharuskan oleh Islam. Ini kerana mempertahankan hukum tidak semestinya kita bersetuju untuk mengamalkannya.
Menyedari perkembangan ini, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pada Mesyuarat Perwakilan Tahunannya yang ke-29 akan memberikan fokus kepada usaha menangani pemikiran Islam liberal pada esok dan Sabtu ini di Institut Latihan Islam (ILIM), Bangi, Selangor.
Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohd. Nor berkata, tahun ini PUM memberikan penekanan kepada Islam liberal kerana mahu menjernihkan pemikiran-pemikiran yang tidak selari dengan asas-asas pemikiran Islam.
"Liberal di sini maksudnya mereka yang ingin merungkaikan diri mereka daripada nas-nas yang telah sedia ada atau mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan nas.
"Tetapi ini bukan bermakna kita menentang pemikiran-pemikiran liberal atau kebebasan bersuara, yang kita mahu ialah jangan sampai mencabar nas," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Islam liberal juga banyak dikaitkan dengan pemikiran pluralisme agama iaitu sehingga sampai peringkat menyama ratakan Islam dengan agamaagama lain.
Jelasnya, Islam tidak mempunyai masalah sekiranya pluralisme itu merujuk kepada kehidupan masyarakat majmuk dan mempunyai kepelbagaian.
MenghormatiIni kerana sejak awal lagi, Islam mahu penganutnya menghormati agama-agama lain di samping mengiktiraf kepelbagaian keturunan, ras atau bangsa sebagaimana yang terpancar dengan masyarakat awal Islam di Madinah.
"Apa yang kita faham mengenai pluralisme ialah kepelbagaian agama dan budaya itu tidak ada masalah dan ia juga sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Tetapi sekiranya memahami Islam dengan cuba menyama ratakan semua agama, itu perlu dinilai," katanya.
Roslan berkata, bagi mengupas secara mendalam mengenai cabaran pemikiran Islam liberal, PUM dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 2008 yang bertemakan "Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia" pada di ILIM.
Seminar dua hari ini akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Seminar tersebut bertujuan bagi memperjelaskan asas-asas dalam pemikiran Islam dan mengenal pasti penyelewengan dan penyimpangan fahaman Islam liberal daripada ajaran Islam di samping mengenal pasti usaha yang perlu diambil bagi membendung fahaman itu.
Roslan berkata, Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir yang juga bekas Mufti Terengganu dijadual menyampaikan ucaptama bertema 'Kemelut Islam Liberal' antara lainnya mendedahkan kewujudan golongan yang cuba membebaskan diri mereka daripada penafsiran oleh para ulama dan cendekiawan Muslim yang sudah terbukti keilmuan mereka.
"Mereka ini seolah-olah tidak dapat membezakan ulasan-ulasan terhadap Islam, dari segi budaya dan perkara usul," katanya.
Pembentangan kertas-kertas kerja pada seminar tersebut akan membahaskan tentang Asas-Asas Utama Pemikiran Islam, Sejarah dan Metodologi Islam Liberal, Islam dan Liberalisme: Pandangan Tokoh Islam Liberal dan Fahaman Islam Liberal: Pengalaman Indonesia.
Ini termasuk menelusuri kemunculan Islam Liberal yang dikatakan bermula daripada liberalisme di Mesir dan Indonesia. Kertas-kertas yang dibentang bakal menelaah hasil kajian terhadap karya-karya tokoh liberalisme seperti Prof Dr. Hasan Hanafi dan Jamal al-Banna selain tokoh yang lebih lunak seperti Dr. Hamid Taher dan Dr. Hassan al-Mashat.
Seminar tersebut memberikan peluang kepada aktivis-aktivis Islam memenuhi dada dengan kefahaman yang mendalam terhadap Islam liberal bagi membolehkan mereka berada di gelanggang dengan penuh persediaan.
Kepada sesiapa yang berminat mengikuti seminar ini boleh menghubungi sekretariat seminar di talian 03-7955 4300 atau 019-384 2920 / 016-274 6550. -Utusan

Thursday, August 07, 2008

STOP it Bar Council!!!!!!

Kalau hendakkan kebebasan memberikan pandangan, ini bukan caranya - bukan kita tidak tahu bagaimana perbincangan mengenai IFC yang dianjurkan oleh Bar Council di Bangi beberapa tahun lalu.


KENYATAAN MEDIA

PUM MEMBERI AMARAN KEPADA MAJLIS PEGUAM
UNTUK MENGHENTIKAN SEGERA PENGANJURAN
FORUM “MEMELUK ISLAM”


Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) membantah keras penganjuran Forum yang bertajuk ”Memeluk Islam” dan memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya menghentikan segera penganjuran forum berkenaan yang dijadual diadakan pada 9 Ogos ini.

PUM berpandangan secara jelas forum berkenaan mempunyai agenda untuk mempertikaikan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan sebagaimana yang termaktub di dalam Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

PUM berpandangan membahaskan hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak yang berauthoriti dan dikendali secara bertanggungjawab pasti akan mengakibatkan kekeliruan dan salah faham terhadap Islam.

PUM berpandangan tindakan berkenaan adalah suatu usaha yang terancang yang disusun oleh pihak tertentu untuk secara berterusan mempertikaikan hak-hak yang terkandung di dalam Perlembagaan terhadap Islam.

Sehubungan dengan itu, PUM memberi amaran kepada pihak Majlis Peguam agar menghentikan penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius oleh umat Islam di negara ini.

Yang benar,

DR. ROSLAN MOHD NOR
Setiausaha Agung