Sunday, April 06, 2008

Jangan jadi dinosaur

Dinosaur, atau haiwan pra sejarah. Kehebatannya terletak pada saiznya yang besar, lantas menarik rasa takjub bagi kita yang tidak lagi berpeluang menatapnya kini. Ini kerana binatang besar itu sudah lama lenyap dek zaman.

Lupusnya dinosaur itu kerana banyak sebab. Perubahan cuaca, bencana alam - tsunami, gempa dan sebagainya.

Perkataan dinosaur itulah yang saya sebut ketika pertemuan dengan pengurusan syarikat baru-baru ketika NUJ-UM dijemput untuk turut sama mengetahui hala tuju Utusan bagi mendepani cabaran akan datang.

Jangan Utusan jadi dinosaur...mungkin kata-kata itu mungkin satu amaran yang kasar. Tetapi itulah ingatan yang perlu difikirkan sebelum ia benar-benar terjadi.

Perbincangan hari itu banyak berkisar soal impak PRU-12 dan pasca pilihan raya setelah empat lagi negeri yang dilihat kubu BN telah jatuh ke tangan pembangkang.

Tempias kesannya turut terkena pada media, apabila sepanjang tempoh kempen PRU-12 jumlah edaran ahkbar media perdana merudum (malah sebelum ini laporan ABC juga telah menunjukkan penurunan).

Kadar penurunan itu memang mengejutkan dan tidak perlu disebut di sini kerana nanti laporan rasmi ABC semua orang boleh tatap.

Sebelum ini ada analisis menyatakan kekalahan BN berpunca daripada kempen media arus perdana yang terlalu berpihak kepada parti pemerintah.

Sejauh mana dakwaan itu benar atau sebaliknya belum cukup kuat untuk dibuktikan tetapi dari segi `fact and figure', wajah media kita semasa pilihan raya jelas memberikan impak kepada penurunan edaran.

Tetapi amat mengejutkan apabila selepas pilihan raya umum, jumlah edaran kembali naik ekoran terdapat laporan yang lebih seimbang termasuk isu kemelut pembentukan kerajaan.

Situasi tersebut memberikan petanda yang kalau kita buat `ramdom survey' bahawa khalayak pembaca menolak laporan yang keterlaluan berpihak kepada kerajaan lantas membuatkan mereka beralih kepada media alternatif terutama blog yang menjadi senjata ampuh pembangkang.
Sama ada apa yang dipaparkan benar atau tidak bukan persoalan. Manusia yang sedang kelaparan dan kehausan pasti mendapatkan apa saja sumber makanan dan minuman untuk menyambung survival hidup.
Begitu juga mereka yang kehausan maklumat, pasti mencari apa saja sumber untuk mendapatkan maklumat.

Jadi untuk memastikan media perdana tidak ditelan zaman dan akhirnya menjadi dinosaur, sewajarnya laporan seimbang menjadi jawapan tepat walaupun ia tidak menjamin sepenuhnya penurunan jumlah edaran dan pembaca boleh dikekang.

Malah sejak sekian lama golongan wartawan memperjuangkan kebebasan akhbar iaitu memberikan laporan dan liputan yang seimbang dan bersifat objektif - bukan semata-mata propaganda yang akhirnya membawa rebah.

Penurunan edaran dan jumlah pembaca menjadi perkara yang kritikal kerana ia memberikan kesan kepada kemasukan jumlah iklan yang menjadi punca pendapatan syarikat akhbar sekali gus menentukan sama ada syarikat boleh mencapai keuntungan atau tidak.

Keuntungan amat penting kerana tanpa keuntungan bagaimana kesatuan mempunyai hujah kuat untuk menuntut penambah baikkan dalam Perjanjian Bersama (CA). Kalau di Utusan, kalau tidak untung bonus pun tidak ada.

Jika ditanya kepada mana-mana wartawan termasuk pengarang-pengarang memang keseimbangan laporan merupakan satu idealisme. Wartawan yang tidak memasuki sekolah kewartawanan pun percaya kepada idealisme itu.

Namun kekangan sebagai akhbar aparatus parti membuatkan laporan seimbang tidak diberikan. Pada peringkat ini, status quo sebagai akhbar aparatus parti akan kekal. Utusan sejak hari pertamanya tidak pernah `derhaka' kepada UMNO walaupun pernah satu ketika dikuasai golongan kiri.

Cuma yang perlu difikirkan ialah keseimbangan dalam laporan tanpa menjejaskan statusnya sebagai aparatus parti dan dalam masa yang sama ia menjadi akhbar rakyat. Inilah cabaran yang dihadapi oleh wartawan.

Mengapa ia penting? Pengalaman sepanjang PRU-12 jelas membuktikan, ketiadaan laporan tentang situasi di bawah yang sebenarnya mencetuskan gelombang tsunami politik akhirnya menjadi satu kejutan, tidak dapat diketahui oleh khalayak pembaca.

Kalau baca akhbar siapa pun tidak sangka keputusan pilihan raya umum begitu jadinya.
Tetapi adilkah kalau menyatakan akhbar menjadi punca kekalahan BN sebagaimana benarkah kemenangan parti selama ini juga disebabkan akhbar?

Kalau pembangkang merasa tidak mendapat tempat dalam media, ada juga calon BN tidak mendapat tempat. Bayangkan dalam tempoh 13 hari berkempen, calon BN di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN, adakah semuanya mendapat tempat dalam akhbar?

Dalam hal ini semua pihak perlu bersikap adil terhadap akhbar. Wajarkah menolak akhbar perdana kerana semata-mata wajahnya yang pro kerajaan dan tidak ada langsung ruang untuk pembangkang? Itu pandangan yang kurang tepat rasanya.

Lagipun adakah semua orang yang membaca akhbar itu hanya mahu mendengar cerita politik. Tidak juga. Ini kerana pembaca juga berminat untuk mengetahui pelbagai cerita-cerita menarik selain politik.

Ini disaksikan majalah seperti Mastika yang dulunya memaparkan cerita-cerita yang heavy akhirnya hampir dikuburkan.

Tetapi majalah digest itu bangkit dari kubur apabila edarannya melonjak sampai 300,000. Kredit perlu diberikan kepada sahabat saya Zulkarnain yang kini memimpin majalah itu dan bekas pengarangnya, Zainol Fakir (guru kewartawanan saya) kerana muncul dengan idea `cerita dari kubur'.

Cerita-cerita human interest, life drama dan misteri ternyata menarik minat khalayak pembaca. Akhbar tabloid juga menunjukkan peningkatan edaran termasuk Kosmo! apabila memaparkan berita-berita yang keluar daripada kerangka politik.

Namun akhbar terpaksa akur kepada kehendak pasaran, kehendak masyarakat dengan kini sokongan popular kepada pembangkang meningkat. Justeru akhbar-akhbar perlu diberikan lebih kebebasan dalam menyajikan laporan meskipun sebenarnya tidak ada kebebasan yang mutlak di dunia.

Sekurang-kurangnya akhbar perdana terutama suara keramat Melayu, Utusan akan terus relevan. Ia akan terus menyajikan pandangan zaman dan masa depan.

1 comment:

Wan Hazmir Bakar said...

Syabas. Saya cadangkan saudara dilantik Senator mewakili media.