Thursday, May 19, 2005

TAJDID HADHARI

Pertahankan al-Azhar: Tantawi

Oleh: HELMI MOHD FOAD

ISTILAH terorisme global yang muncul selepas peristiwa 11 September 2001 telah menyebabkan Islam seolah-olah berada di kandang orang salah.
Peristiwa tersebut memberi impak global hingga menyebabkan kuasa Barat terutama Amerika Syarikat (AS) menggunakan kempen memerangi terorisme global untuk menjadikan orang-orang Islam sebagai `mangsanya'.
Keganasan sekarang tidak lagi mengenal batas sempadan malah ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Namun pada gambaran dunia, aksi-aksi teror itu banyak melibatkan orang Islam.
Lantas ia membuatkan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam - sama ada kumpulan Islam, pusat pengajian Islam malah fundamental ajaran Islam itu sendiri dianggap sebagai mempunyai pengaruh pengganas.
Lebih menjolok mata apabila ada pihak yang sanggup menuduh Nabi Muhammad sebagai `a man of war' dan `a man of violence'.
Ini sebenarnya satu penerusan kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Islam sejak dahulu lagi.
Antaranya ialah tuduhan wartawan Inggeris, A.N. Wilson dalam bukunya yang cukup kontroversi, Against Religion: Why We Should Try To Live It (1992).
Jika Karl Marx menggambarkan agama sebagai candu rakyat, Wilson pula mengatakan agama adalah tragedi umat manusia dan ia mendorong orang menganiaya sesama mereka.
Dia juga menganggap mungkin lebih benar kalau dikatakan bahawa cinta Tuhan adalah akar kejahatan.
Ini semua menjadi satu cabaran kepada umat Islam terutama pada era globalisasi dalam mempertahankan amalan beragama (tadayyun) dan membina semula tamadun berasaskan pemikiran agama.
Menyedari cabaran ini, Sheikh al-Azhar, Dr. Mohammad Sayed Tantawi mempertahankan bahawa manusia Islam atau bukan Islam sebenarnya memerlukan agama.
Katanya, beragama dengan erti penganutan terhadap suatu akidah dengan penuh keyakinan dan mempertahankannya adalah perkara tabii bagi orang yang berakal.
Memetik kata-kata penulis Islam terkenal, Abbas Mahmud Aqqad, Tantawi menyatakan, tabiat semula jadi manusia itu adalah keperluan yang mendesak terhadap iktikad malah tadayyun tidak ubah seperti keperluan mendesak perut kepada makanan.
Ini bermakna jiwa juga akan lapar sebagaimana jasad merasa lapar.
Justeru Tantawi menekankan bahawa, konsep beragama yang sebenar adalah lahir daripada akidah sahih yang diserlahkan melalui pengabdian yang ikhlas kepada Allah dan beriman kepada para rasul, kitab, hari kiamat, qada dan qadar.
Malah seruan supaya beragama merupakan agenda utama semua rasul dan ucapan pertama yang disampaikan kepada umat mereka ialah: ``Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan selain daripada-Nya.''
Jelas Tantawi, apa yang terkandung dalam ajaran para nabi adalah seruan supaya manusia berakhlak mulia seperti bersifat benar, amanah, adil, bekerja-sama dalam ketakwaan dan bukannya pada perkara yang mendatangkan dosa dan permusuhan.
Atas kepercayaan inilah Tantawi menyeru umat Islam supaya menghayati amalan beragama yang sebenar dalam menghadapi proses globalisasi.
Malah dengan tegas Tantawi menyebut pendiriannya dalam mempertahankan asas-asas ajaran Islam yang selama ini diamalkan oleh al-Azhar.
Ini kerana atas nama memerangi terorisme global terdapat pihak yang beranggapan sistem pengajian Islam juga harus diubah kerana mendakwa ia juga mempunyai unsur-unsur yang menyuburkan keganasan.
Perkara ini boleh dianggap sebagai satu bentuk campur tangan yang keterlaluan kerana ia menyentuh secara langsung ke atas kepentingan Islam.
Umat Islam seluruh dunia telah lama menganggap pengajian Islam al-Azhar sebagai kayu ukur dan badan tertinggi sebagai rujukan.
Maka sebarang usaha untuk merendahkan martabat al-Azhar boleh dianggap suatu yang menyentuh kewibawaan Islam.
Tantawi berkata, pihaknya akan mempertahankan sistem pengajian Islam yang telah disusun oleh ulama-ulama al-Azhar sejak dahulu.
``Ini kerana ulama-ulama al-Azhar telah menyusun manhaj (kaedah) pengajian Islam sejajar dengan ajaran al-Quran dan Sunah. Ia terbina berdasarkan asas-asas yang hakiki,'' katanya.
Menurut beliau, al-Azhar menolak sebarang konsep globalisasi yang bertujuan mahu memperluaskan budaya tertentu ke atas negara lain termasuk perkara yang bercanggah dengan sistem pembelajaran dan akidah Islam.
Tantawi berkata, pada masa ini tidak ada negara lain atau pihak tertentu termasuk kuasa Barat yang berhak masuk campur dalam urusan penyusunan sistem pengajian Islam di al-Azhar.
``Tidak ada pihak yang boleh campur tangan dalam menetapkan sistem pengajian Islam di al-Azhar. Tidak dari Barat, Timur atau Selatan yang masuk campur dalam penyusunan kurikulum pengajian Islam di al-Azhar,''
``Kita tidak dapat menerima konsep globalisasi dengan tujuan memaksa untuk mengikut mana-mana pengajaran yang bercanggah dengan agama, nilai dan adabnya,'' jelasnya.
Sebaliknya tambah beliau, Islam amat mengalu-alukan jika sekiranya globalisasi yang bermaksud umat Islam boleh bekerjasama dengan mana-mana negara untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang boleh memberikan manfaat.
``Kalau mereka mahu belajar dari saya tentang ilmu-ilmu Islam, maka saya tidak boleh menyembunyikannya.
``Jika ini (maksud bekerjasama), kita ucapkan marhaban kepada globalisasi,'' ujarnya.
Mengenai dakwaan bahawa sistem pengajian Islam yang ada sekarang telah diresapi oleh unsur ekstremisme Tantawi menyatakan, ajaran Islam sebenarnya menolak sebarang bentuk keganasan terutama jika dilakukan ke atas orang yang tidak berdosa.
``Kita jelaskan bahawa Islam dengan tangan terbuka menerima sebagai usaha yang boleh membawa kepada kedamaian.
Malah katanya, pendirian al-Azhar terhadap keganasan cukup jelas apabila bertindak mengeluarkan ketetapan mengutuk dan menentang serangan 11 September ke atas New York dan Washington, AS.
``Pada hari kedua selepas peristiwa itu anggota Majmak Buhuth al-Azhar telah bersidang dan mengeluarkan ketetapan mengutuk serangan itu.
``Al-Azhar menolak serangan itu kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah agama, undang-undang dan kemuliaan insan,
Ini kerana jelasnya, mangsa serangan itu adalah orang yang tidak berdosa terdiri daripada rakyat AS, Eropah, Asia dan mereka bukan sahaja orang bukan Islam malah orang Islam sendiri.
Ujarnya, tindakan penyerang berani mati dalam peristiwa tersebut dianggap satu perbuatan jenayah.
``Ini adalah sikap ulama, kami menolak keganasan dalam apa jua bentuk sama ada dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam,'' katanya.
Malah Tantawi menyatakan golongan yang mendakwa memperjuangkan Islam di atas nama jihad melalui serangan ke atas orang awam sebagai perbuatan yang menyalahi agama.
Cukup dengan hanya satu ayat Tantawi berkata: ``Mereka itu salah.''
(Pandangan Tantawi tersebut dikeluarkan pada Multaqa Ulama Antarabangsa di Putrajaya pada 2003. Namun penulis rasa pandangan itu masih relevan untuk dihayati oleh pembaca) *

No comments: