Friday, September 19, 2008

Media masih diancam saman mega

Secara peribadi saya mengambil perhatian di atas beberapa perkembangan yang melanda industri persurakhabaran di sering diancam oleh beberapa undang-undang- yang boleh menyekat kebebasan dan mendedahkan sesebuah syarikat akhbar dikenakan saman mega.
Kita baru dikejutkan dengan penangkapan wartawan Sin Chew di bawah ISA kerana `keberanianya' melaporkan ucapan yang berbau perkauman.
Meskipun selama ini ramai wartawan banyak mengambil sikap `self censorship', dalam beberapa keadaan tertentu kadang-kala suatu berita yang ada nilai berita perlu juga dilaporkan. Kita boleh tulis apa saja atas dasar kebenaran tetapi perlu berfikir dua kali, kalau tidak disiarkan, kita sendiri rasa kecewa.
Misalnya kalau buat liputan Tun Dr. Mahathir, memanglah kita seronok mendengar hujah dan kritikan negarawan itu, tetapi dalam hati sering berkata, ``bolehkah aku tulis semuanya'.
Terkini pula Utusan Malaysia menghadapi saman dari Teresa Kok dengan tuntutan samannya sebanyak RM30 juta dan hari ini pula Karpal Singh menfailkan saman RM10 juta.
Apa akan terjadi kepada nasib wartawan-wartawan jika syarikat terpaksa menanggung saman sebegitu besar.
Meskipun terdapat ralat dan permohonan maaf secara terbuka, itu belum cukup lagi untuk sesebuah syarikat akhbar terlepas daripada risiko dikenakan mega saman. Inilah yang perlu difikirkan ketika kerajaan sedang berusaha memperkenalkan Majlis Media.
Apakah wajar majlis tersebut wujud sedangkan media masih menghadapi pelbagai risiko sama ada ditahan ISA, dikenakan tindakan di bawah pelbagai akta termasuk disaman dan dalam masa yang sama diikat pula dengan peraturan di bawah majlis media.
Nampaknya interaksi masyarakat dengan media tidak seperti dulu. Kalau terdapat khilaf atau kesalahan, media dan masyarakat boleh saling memaafi dan kemudian hubungan dipulih kembali dengan media boleh membuat laporan positif ke atas pihak terbabit bagi memperbaiki keadaan.
Kadang kala kita boleh memberikan penghargaan kepada sesetengah ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan atau ahli perniagaan yang masih menghargai media yang banyak memberikan liputan. Tidak kira positif atau negatif.
Ini kerana kadang-kala berita yang bersifat negatif memberikan publisiti kepada sesetengah orang dan kemudian dia diberikan peluang untuk menjelaskan hal sebenar dalam laporan seterusnya.
Tetapi nampaknya keadaan itu tidak lagi berlaku hari ini. Bagi mereka media harus diberikan pengajaran.

No comments: