Sunday, March 06, 2011

Platform terbaik bela nasib wartawan dan pengguna media . Majlis Media perlu tubuhkan

SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Media yang telah disyorkan sejak sekian lama perlu terus dipastikan terlaksana bagi menentukan nasib pengamal media dan pengguna di negara ini dapat dibela.

Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan yang membangkitkan kembali syor penubuhan majlis atau sebuah suruhanjaya media berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan rakyat turut dapat meluahkan aduan sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu laporan atau berita.

``Golongan wartawan diibaratkan seperti lilin, mereka membakar diri sendiri untuk kepentingan orang lain tetapi oleh kerana keadaan yang terlalu tebal dengan birokratik menyebabkan wartawan tidak terbela.

``Justeru, kewujudan sebuah majlis atau suruhanjaya media merupakan satu keperluan untuk pastikan hak semua pihak berada pada landasannya,'' katanya.

Beliau melontarkan pandangan tersebut pada Kolokium Kritikan Media Ke-24 bertemakan `Wartawan, Undang-Undang dan Negara anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Sabtu lalu.

Zaini yang mengupas tajuk `Wartawan Penerus Agenda Pembangunan Negara: Antara Pelaporan Terpimpin atau Pelaporan Tiada Batasan berkata, pengamal media menghadapi cabaran dalam memastikan etika kewartawanan dapat terus diamalkan ekoran faktor kemunculan pelbagai medium media baru yang mengutamakan kepantasan.

``Secara radikalnya etika media tidak lagi relevan kerana soal ketepatan bukan dijadikan asas penting tetapi soal kepantasan sekali gus memberikan kesan kepada maklumat yang disalurkan.

``Ini menyebabkan kecelaruan iaitu dari segi penerimaan dan penghantaran sesuatu maklumat, jadi ini perlu dilihat apa akan jadi pada masa akan datang,'' katanya.

Katanya, keadaan itu berbeza seperti media di United Kingdom yang mempunyai majlis media bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan sekali gus mengelak mereka mengalihkan kemarahan melalui medium yang lain.

``Sudah sampai masanya kalau media menganggap mereka akan estet keempat selepas eksekutif, penggubal undang-undang dan kehakiman, kita mesti mempunyai satu platform untuk menentukan nasib pengamal dan penerima berita dibela,'' katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila menyatakan, penubuhan majlis media perlu dihalusi dengan baik dengan melibatkan perbincangan bersama pengamal media, pihak yang berkepentingan dan rakyat.

Beliau berkata, badan seumpama itu perlu dipastikan mempunyai kuasa menguruskan peraturan sendiri dan tidak dikongkong oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen.

``Kita tidak mahu nanti integriti badan tersebut dipersoalkan dengan mengambil kira kemungkinan terdapat kos yang perlu ditanggung oleh rakyat,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, badan tersebut hanya dapat dilaksanakan selepas sistem yang ada dibersihkan termasuk menghapuskan akta-akta yang boleh dikenakan ke atas pengalamal media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

``Saya tidak setuju kalau ada pihak mengatakan terdapat media yang mempunyai niat jahat, kalau kita percaya kepada etika dan profesionalisme yang dipegang oleh pengamal media, mengapa perlu kepada akta tersebut.

``Dengan adanya akta-akta seperti itu seolah-olah kita tidak percaya kepada pengamal media. Mungkin ada menyatakan walaupun akta itu wujud, tiada akhbar ditutup, itu memang benar kerana semuanya mengikut apa sahaja diarahkan oleh kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, wartawan kanan Unit Berita TV3, Razali Awang yang mengupas tajuk `Cabaran Wartawan Dalam Berhadapan dengan Kepesatan Teknologi Media Sosial' berkata, penggunaan kuasa medium baru termasuk Facebook dan Twitter bagi menyampaikan maklumat hingga dapat mencetuskan revolusi rakyat Mesir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak tidak boleh disamakan dengan negara ini.

``Rakyat Mesir terpaksa memilih medium tersebut kerana faktor keadaan apabila sikap pemerintah Mesir yang terlalu menekan.

``Di negara ini walaupun media boleh dikatakan masih dikawal oleh kerajaan, kalau diteliti ia ada memberikan kebaikan,'' katanya.

Ini katanya, berbeza dengan Indonesia apabila selepas kejatuhan rejim Suharto, media dilihat mempunyai kebebasan mutlak dan ia menyumbangkan kepada ketidakstabilan kepada negara itu sehingga sekarang.



(Ini adalah berita penuh dengan sebahagiannya tersiar dalam Mingguan Mingguan 6 Mac 2011)

No comments: